Friday, January 17, 2014

Khutbah Jumaat_Januari-03/2014

 "BERDAKWAH SATU KEWAJIPAN"

Muslimin yang dirahmati Allah swt ,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita ke hadrat Allah SWT dengan mentaati segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita dikurniakan hidayah oleh Allah SWT dan segala amal ibadat kita diterima di sisiNya sebagai bekalan untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Khutbah pada hari ini bertajuk  "BERDAKWAH SATU KEWAJIPAN ".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dakwah adalah satu wasilah untuk menyampaikan ajaran   Allah kepada umat manusia. Ia merupakan tugas utama para rasul walaupun menempuh pelbagai halangan dan rintangan dalam menyampaikan risalah Islam. Mereka melaksanakan tanggungjawab ini tanpa rasa jemu, kecewa dan putus asa.
Apakah makna dakwah? Dakwah secara umumnya bermaksud menyeru, mengajak, memujuk, mentarbiyah, mendidik, melatih dan memimpin orang yang diseru agar mengakui dan menerima kebenaran risalah Allah.  Ia juga merangkumi perkara berkaitan ibadah kepada Allah, hubungan sesama manusia dan alam serta seruan amar makruf nahi mungkar. Melalui dakwah kita dapat melihat keberkesanan, kesyumulan dan kesempurnaan Islam dalam memandu dan memberi hidayah kepada manusia hingga hari kiamat. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 3:
"Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatku kepadamu, dan aku telah redhakan Islam menjadi agama kamu,"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T
Sesungguhnya tugas dakwah adalah kewajipan setiap orang Islam. Ianya menjadi penting demi memelihara kesucian dan kemuliaan ajaran Islam. Namun Islam menggariskan prinsip-prinsip asas dalam berdakwah berteraskan firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 125:
"Serulah ke jalan Tuhanmu(wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka(orang yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"

Melalui ayat ini diterangkan tiga prinsip utama dalam melaksanakan tugasan dakwah iaitu:
1.           Al Hikmah(kebijaksanaan).
Para daie perlu memiliki kebijaksaaan dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Mereka juga hendaklah memiliki ilmu Islam yang mantap, kefahaman yang mendalam, berkemahiran tinggi dan penghayatan ajaran Islam yang kukuh.Ia sebagai bekalan berharga kerana rintangan semasa hari ini merupakan senario halangan yang perlu ditempuh oleh para para daie seperti dunia tanpa sempadan, tekanan hidup dan masa yang terbatas.

2.         Al Mauizatul Hasanah(kata nasihat yang baik)
Ia merupakan pendekatan terbaik untuk membangkitkan kesedaran yang berkesan dalam kehidupan. Maka ia perlu diterapkan dalam diri para daie sifat-sifat mahmudah seperti bertutur kata dengan baik dan bersopan santun, bersikap sebagai sahabat, sentiasa mesra dan bersikap tolak ansur.

3.         Al Mujadalah(berbahas dengan cara yang baik)
Kaedah ini merupakan satu cara yang sihat dalam memantapkan ilmu dan perbahasan mencari kebenaran. Elakkan perbahasan dalam masalah agama yang hanya menjurus kepada kepuasan hati dan perasaan kerana ia akan jauh dari kebenaran dan keredhaan Allah sebagaimana dituntut dalam matlamat dakwah.
Hakikatnya dakwah mampu merubah pemikiran dan kesedaran jiwa, agar jiwa yang keras menjadi lembut, nafsu yang buas berjaya dijinakkan dan hati yang degil akan tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Dalam mencari individu contoh yang mempunyai ciri-ciri pendakwah hebat seperti yang disebut tadi, maka sudah pasti kita akan merujuk kepada baginda Rasulullah SAW. Mengambil satu kisah bagaimana baginda yang sentiasa istiqamah dan penyabar telah memberi makan dan minum kepada seorang pengemis yahudi yang buta. Setiap kali disuapkan makanan oleh baginda ia akan menyumpah seranah nabi Muhammad dengan kata-kata nista tanpa mengetahui insan yang sedang menyuapkan makanan itu adalah manusia yang dikejinya. Baginda Rasulullah SAW berterusan menyuapkan makanan hinggalah baginda wafat. Tugas itu kemudian digalas oleh Saidina Abu Bakar. Namun pengemis yahudi terasa kelainan dalam suapan seperti kebiasaan yang ia terima. Lalu dikhabarkan oleh saidina Abu Bakar bahawa insan yang menyuapkannya selama ini adalah Nabi Muhammad SAW yang telah wafat. Betapa ia mendengar perkhabaran itu luluhlah hatinya, menyesallah ia kerana caci nista selama ini. Tidak disangkanya insan yang dibenci, dikutuk, dimaki hamun, dicerca adalah orang yang telah berbuat baik dan bersikap ihsan kepadanya. Pada akhirnya wanita yahudi itu telah memeluk Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
Saluran dakwah kini bukan sahaja tertakluk kepada lisan(pertuturan) atau tulisan tetapi mencakupi dakwah dengan amalan da contoh perbuatan yang dinamakan dakwah bil hal. Dakwah juga tidak semestinya disampaikan di masjid dan surau tetapi tempat-tempat yang menjadi tumpuan yang tidak melanggar batas syarak. Dakwah masa kini melalui internet perlu diberi tumpuan kerana ia mempunyai bilangan pengguna dan peminat yang tinggi. Lebih menarik lagi ia digemari oleh golongan remaja dan belia yang sudah dijangka sukar mengikuti program agama secara formal seperti di masjid atau surau. Kemampuan menguasai teknologi ini akan menyebabkan pembangunan dakwah Islamiah menjadi lebih dinamik, tersebar dengan meluas dan mudah diterima oleh masyarakat sejagat.

Satu lagi pendekatan dakwah yang cukup berkesan dewasa ini adalah melalui seni. Semua sedia maklum setiap insan gemarkan hiburan seni samada muzik, drama atau filem. Sesungguhnya Islam mengharuskan hiburan namun ianya hendaklah tidak melanggar batas-batas syarak dan melalaikan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Marilah kita melaksanakan misi dakwah yang menjadi tanggungjawab semua insan. Kita laksanakannya berdasarkan kemampuan yang ada. Sekiranya kita mahir IT maka gunakanlah kemahiran itu untuk menyeru manusia kepada Islam. Gunakanlah laman social dan internet sebagai satu medan untuk menyebarkan risalah Islam.

Pendekatan dakwah bil hal perlu diperluaskan lagi . Menjaga akhlak dan berperibadi mulia untuk menjadi cerminan kepada masyarakat adalah merupakan antara pendekatan dakwah secara bil hal yang mudah dilakukan. 

Para pendakwah pula hendaklah keluar dari kepompong zon selesa. Mari kita turun ke lapangan dakwah menyantuni dan membajai jiwa-jiwa yang  kontang dan lemah iman yang terlibat dengan gejala negatif agar kembali kepada ajaran dan penghayatan Islam.

Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang Yang fasik."
                                                                                              (Al-Imran : 110)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 17 Januari 2014

No comments:

Post a Comment