Sunday, December 16, 2012

Bab 03 - Rambut Rasulullah s.a.w.



Rambut Rasulullah s.a.w.

Anas Bin Malik berkata:

Rambut Rasulullah s.a.w. mencecah sehingga bahagian tengah kedua-dua telinganya.

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Muslim, Ibnu Majah dan Nasa’i)


Aisyah berkata:

Aku pernah berkongsi mandi satu bekas air dengan Rasulullah s.a.w., Baginda memiliki rambut yang panjangnya di atas bahu dan di bawah cuping telinga.

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Al-Bara’ Bin ‘Azib berkata:

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang memiliki bentuk tubuh yang sederhana, kedua-dua bahunya bidang, rambutnya menyentuh kedua-dua cuping telinganya.

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)

Bab 02 - Khatam: Tanda Kenabian Rasulullah s.a.w.



Khatam: Tanda Kenabian Rasulullah s.a.w.

Sa’ib Bin Yazid berkata:

Makcikku mengajak aku bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian, makcikku berkata, “ Wahai Rasulullah s.a.w.! Sesungguhnya anak saudaraku (iaitu as-Sa’ib Bin Yazid) sedang sakit. “ Rasulullah s.a.w. mengusap kepalaku lalu mendoakan keberkatan untukku. Sesudah itu, Baginda mengambil wuduk, dan aku meminum air bekas wuduknya lalu berdiri di belakang badan Baginda. Aku dapat melihat tanda kenabian di antara kedua-dua bahunya. Tanda itu seperti butang yang besar.

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari dan Muslim)


Sa’ib Bin Yazid berkata:

Aku pernah melihat tanda kenabian yang ada di antara kedua-dua bahu Rasulullah s.a.w., iaitu daging yang berwarna merah sebesar telur burung merpati.

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Muslim)



Rumaitsah berkata:

Aku mendengar Rasulullah s.a.w. (yang pada waktu itu berada sangat dekat denganku, sehingga seandainya aku mahu mencium tanda kenabian yang ada di antara kedua-dua bahu Baginda, nescaya aku dapat lakukannya) berkata kepada Sa’ad Bin Mu’adz pada hari beliau meninggal dunia, “ ‘Arasy Allah bergegar kerana kematian Sa’ad. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Ahmad)

Bab 01 - Fizikal Rasulullah s.a.w.



Fizikal Rasulullah s.a.w.

Anas Bin Malik berkata:

“ Rasulullah s.a.w. bukanlah orang yang terlalu tinggi, namun bukan juga terlalu pendek, (kulitnya) tidak putih pucat juga tidak sawo matang, (rambutnya ikal) tidak terlalu kerinting dan tidak juga lurus. Baginda diutus oleh Allah menjadi Rasul pada usia empat puluh tahun. Baginda menetap di Mekah (sebagai Rasul) selama sepuluh tahun dan di Madinah juga selama sepuluh tahun. Baginda diwafatkan oleh Allah dalam usia enam puluh tahun, dalam keadaan tidak sampai 20 helai uban yang terdapat di kepala dan janggutnya. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari dan Muslim)


Al-Bara’ Bin ‘Azib berkata:

“ Rasulullah s.a.w. merupakan seorang lelaki yang bertubuh sederhana (tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah), jarak antara kedua-dua bahunya lebar (bahunya bidang). Rambutnya yang lebat terurai ke bahu sampai ke telinganya. Apabila Baginda memakai pakaian berwarna merah, aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih tampan daripadanya. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim dan Abu Daud)


Ali Bin Abi Talib berkata:

“ Rasulullah s.a.w. tidak tinggi dan tidak rendah. Telapak tangan dan kakinya terasa tebal (dagingnya) namun lembut. Kepalanya besar, tulang sendinya besar. Bulu yang tumbuh di dada sehingga pusatnya tebal. Apabila Baginda berjalan, pergerakannya condong ke hadapan seolah-olah sedang turun ke tempat yang rendah. Tidak pernah aku lihat orang yang setanding dengan Baginda, sama ada sebelum (beliau lahir) mahupun selepas (Baginda meninggal dunia). “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim dan Abu Daud)