Tuesday, February 12, 2013

Haiwan Kesayangan & Alatan Perang Rasulullah s.a.w.

Haiwan Kesayangan :
Unta (20 ekor) : Kesayangan bernama 'Atba'.
Kuda (20 ekor) : Kesayangan bernama 'Ya 'afur'.
Keldai ( 4 ekor) : Kesayangan bernama 'Dul-Dul'.


Alatan Perang :
Pedang (9 bilah) : 1. Al-Ma'thur
                            2. ZulFaqar
                            3. Ar-Rusub
                            4. Al-Qal'ei
                            5. Al-Hatfur
                            6. Al-'Adbu
                            7. Al-Battar
                            8. Al-Mikhdam
                            9. Al-Qadib

Tombak (3 bilah) : 1. Al-Mathna
                             2. Al-Anazah
                             3. Al-Baidho

Baju Besi (7 pasang) : 1. Zatul Fudul
                                  2. Zatul Hawais'i
                                  3. Al-Sughudiah
                                  4. Zatul Wisyah
                                  5. Al-Batra'
                                  6. Fiddon
                                  7. Al-Khirnaq

Alat Pelontar (2 buah) : 1. Azzaluk
                                    2. Al-Fatg

Busur Panah (5 bilah) : 1. Azzaura'
                                   2. Ar-Ruhaa
                                   3. Al-Kutum
                                   4. Al-Shafra'
                                   5. Al-Baidho'

Topi Besi (2 buah) : 1. Muwasyah
                               2. Al-Sabugh

Khemah (1 buah) : 1. Al-Sakan


Sifat-Sifat & Perkara Khusus Rasulullah s.a.w.

Sifat WAJIB :
1. Siddiq (Benar)
2. Amanah (Dipercayai)
3. Tabligh (Menyampaikan)
4. Fatonah (Bijaksana)

Sifat MUSTAHIL :
1. Kizbun (Pendusta)
2. Khianat (Berbuat curang)
3. Kitman (Sembunyikan Wahyu)
4. Jahlun (Bodoh)

Sifat HARUS :
1. Memiliki sifat seperti manusia umumnya. 


Perkara KHUSUS :
1. Musuh merasa takut sebelum menemui Rasulullah s.a.w. dalam jarak tempoh sebulan (HR-Bukhari).
2. Rasulullah s.a.w. dianugerahi kefasihan dalam berbicara (HR-Muslim).
3. Terpelihara dosa.
4. Keluarga & keturunanya dilarang menerima Zakat & sedekah.
5. Di antara kedua bahunya ada tanda kenabian.
6. Qiyamulail diwajibkan baginya.
7. Saat matanya terpejam, hatinya tetap terjaga (HR-Bukhari).
8. Janda Rasulullah s.a.w. dilarang dinikahi oleh sesiapa.
9. Allah mengizinkannya menikahi wanita melebihi empat orang.
10. Pemimpin Bani Adam, penutup para Nabi & Allah mengutuskannya kepada seluruh umat manusia (HR-Muslim).

Biografi Rasulullah s.a.w.

Nama : MUHAMMAD Bin Abdullah.
Jantina : Lelaki.
Tarikh Lahir : 12 Rabiulawal tahun ke-53 sebelum Hijrah/ 570 Masihi.
Tempat Lahir : Makkah Al-Mukaramah (Rumah Abu Talib).

Bapa : Abdullah Bin Abdul Muttalib Bin Hashim Bin Abdul Manaf Bin Qusay Bin Kilab Bin Murrah.
Ibu : Aminah Binti Wahab Bin Abdul Manaf Bin Zuhrah Bin Kilab Bin Murrah.

Tarikh Menjadi Nabi : 27 Ramadhan tahun ke-13 sebelum Hijrah/ 609 Masihi (Gua Hira', Makkah).
Wafat : 12 Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah/ 632 Masihi (Madinah Al-Munawwarah).
Tanda Istimewa : Cop kenabian di antara dua bahu yang sentias dinaungi oleh bayangan awan ke mana sahaja baginda pergi.

Pekerjaan : 1. Pengembala kambing.
                    2. Berniaga (sehingga umur 40 tahun).
                    3. Bertugas secara rasmi sebagai Nabi/ Rasulullah.

Sifat-Sifat : Wajah       : Putih bersih berseri/ bercahaya.
                   Mata         : Hitam
                   Rambut     : Hitam
                   Ketinggian : Sederhana & dada (bidang).

Warna Kegemaran : Hijau & Putih.
Keistimewaan : Rahmat sekelian alam.

Nama Bidan : Shifa' Binti Auf (Ummu Abd Rahman)
Nama Penjaga : Ummu Aiman.
Nama Ibu Susuan : 1. Tsuwaibah Al-Aslamiyah.
                                2. Halimah Binti Dzuaib As- Sa'diyah.

Isteri-Isteri (12) : 1. Siti Khadijah Binti Khuwalid r.h.
                             2. Saudah Binti Zam'ah r.h.
                             3. Aisyah Binti Abu Bakar r.h.
                             4. Hafsah Binti Umar r.h.
                             5. Zainab Binti Khuzaimah r.h.
                             6. Ummu Salamah Hindun Binti Abu Umayyah r.h.
                             7. Zainab Binti Jahsy r.h.
                             8. Juwairiyah Binti Al- Harith r.h.
                             9. Safiyyah Binti Huyai r.h.
                           10. Ummu Habibah Ramlah Binti Abu Sufiyan r.h.
                           11. Maimunah Binti Al-Harith r.h.
                           12. Mariah Binti Syam'un r.h.

Anak-Anak (7) : Lelaki :                       Perempuan :
                          1. Al-Qasim r.a.          1. Zainab r.h.
                          2. Abdullah r.a.           2. Ruqayyah r.h.
                          3. Ibrahim r.a.             3. Ummu Kalthum r.h.
                                                            4. Fatimah r.h.

Cucu-Cucu (10) : Lelaki :                       Perempuan :
                           1. Ali r.a.                    1. Umamah r.h.
                           2. Abdullah r.a.           2. Ummu Kalthum r.h.
                           3. Al-Hasan r.a.          3. Zaina r.h.
                           4. Al-Husain               4. Ruqayyah r.h
                           5. Yahya r.a.
                           6. Muhammad r.a.
                   



Bab 04 - Cara Rasulullah s.a.w. Merapikan Rambut



Cara Rasulullah s.a.w. Merapikan Rambut

Aisyah berkata:

“ Aku pernah menyisir rambut Rasulullah s.a.w. semasa aku sedang haid. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari dan Nasa’i)


Anas Bin Malik berkata:

“ Rasulullah s.a.w. selalu memakai minyak yang banyak di rambutnya, merapikan janggutnya dan memakai kain penutup kepala. Sehingga, pakaian Baginda kelihatan seperti pakaian penjual minyak. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi)


Abdullah Bin Mughaffal berkata:

“ Rasulullah s.a.w. melarang kami merapikan rambut kecuali sesekali. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Nasa’i)

Khutbah Jumaat_Februari-02/2013

 "MUHASABAH DIRI SEBAGAI PEMIMPIN" 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bertaqwalah kepada Allah dan ingatlah bahawa Allah SWT tidak menjadikan manusia diatas muka bumi ini dengan sia-sia. Bahkan manusia diciptakan untuk melaksanakan amanah daripada Allah SWT sebagai khalifah. Manusialah satu-satunya makhluk yang menyatakan kesanggupan untuk menjalankan amanah ini.
Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "MUHASABAH DIRI SEBAGAI PEMIMPIN".
Firman Allah SWT dalam surah Al-Ahzab ayat 72:
"Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab agama)kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya. (Pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikul amanah itu. (Ingatlah) sesungguhnya (kebanyakan) manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat bodoh".      
                                                             
Kesemua manusia adalah pemimpin dan di akhirat kelak semua pemimpin ini akan ditanya,disoal,dibicarakan dalam melaksanakan amanah ini.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda;
"Bahawa sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinan, pemerintah adalah pemimpin manusia dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya, seorang suami adalah pemimpin bagi keluarganya dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya , seorang isteri adalah pemimpin rumahtangga dan anak anaknya dan ia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya,seoarang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya dan dia akan dipersoalkan tentang kepimpinannya Maka ingatlah sesungguhnya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinannya".
                                                                                        (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kita sebagai pemimpin hendaklah sedar bahawa kepimpinan adalah amanah daripada Allah SWT. Jika kita berjaya menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan adil terhadap orang bawahan kita, maka kita akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak . Sekiranya kita gagal menunaikan amanah ini, dengan tidak melaksanakan tanggungjawab dengan melakukan penyelewengan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah dan sebagainya, maka nescaya akan dibalas oleh Allah SWT dengan balasan yang dahsyat diakhirat kelak.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Maksud muhasabah itu adalah menilai perilaku yang lalu dan memperelokkan diri yang lahir dari jiwa seseorang yang tulus ikhlas berasaskan kehendak  agama. Ia juga boleh diertikan sebagai proses mendidik diri agar sentiasa memelihara diri dari segala kejahatan yang pernah dilakukan atau menghalang diri dari  melakukan kejahatan yang boleh menjadi pengalang untuk mendapat keredhaan dari Allah SWT.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
"Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematiannya  sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak)".
                                                                                     (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah)

Bermuhasabah adalah suatu perkara yang amat penting dan menjadi pemangkin dalam kehidupan seorang mukmin dan perlu disebatikan dalam jiwa sanubarinya kerana kita semua adalah sebagai pemimpin.
Bagi memastikan agar setiap insan  bergelar pemimpin  tidak  terjerumus dalam kemurkaan Allah maka menjadi keperluan untuk sentiasa bermuhasabah dan menghitung diri tentang tujuan pelantikan dan matlamat kehidupannya. Sebelum bermuhasabah perlu untuk setiap kepimpinan mengetahui tanggungjawab sebagai seseorang pemimpin . antaranya ialah  hendaklah:

Pertama       :      Memastikan ibadat solat menjadi keutamaan bagi dirinya dan seluruh pimpinannya.
Apabila bermuhasabah maka rukun utama ini perlu dititik beratkan. Tiada gunanya bermuhasabah seandainya perkara asas ini diabaikan. Sehubungan itu perlu untuk setiap pemimpin menjadikan solat sebagai keutamaan dan semoga matlamat dan tujuan dapat dicapai. Solat adalah doa yang menjadi penghubung secara langsung dengan Allah SWT yang  menjadi tiang kepada agama. Barang siapa yang mendirikan solat maka ia telah mendirikan agama dalam dirinya dan barang siapa yang meninggalkan soalt sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama dalam dirinya.

Kedua         :       Memastikan sumber pendapatan  bersih daripada sebarang sumber yang diharamkan oleh Allah SWT.
Selain dari memahami pentingnya bermuhasabah maka kita tidak boleh mengabaikan perkara yang boleh menyebabkan doa kita di tolak olah Allah SWT. Pendapatan yang diperolehi akan menjadi sumber makan minum dan akan menjadi  darah daging  samada untuk diri , keluarga juga seluruh tanggungannya .
Jika sumber pendapatan ini tidak diawasi amat besar kesan dan akibatnya.  Justeru, apabila seseorang itu dilantik sebagai pemimpin, maka janganlah ia mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan duniawi dengan menafikan hak orang lain.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perkara ketiga sebelum menjadikan muhasabah sebagai pemangkin dalam kehidupan iaitu menitikberatkan soal Amar Makruf dan Nahi Munkar, yakni mendidik diri dan pimpinannya  supaya sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya. Keseimbangan antara melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang buruk adalah satu perkara yang sering diabaikan oleh manusia.
Apabila kita dilantik atau dipilih sebagai pemimpin, maka itu sebenarnya bukanlah satu berita gembira bagi kita. Kepimpinan bukan satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan pula satu perkara yang menyeronokkan,tetapi kepimpinan adalah amanah Allah SWT yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna kita menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak.
Setiap pemimpin hendaklah sedar tentang pentingnya  bermuhasabah diri untuk menjadi pemimpin yang cemerlang di dunia dan cemerlang di akhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilahkita sentiasa jadikan muhasabah diri sebagai rutin harian kita untuk menjadi pemangkin kepada kemajuan diri dan terlepas daripada azab Allah SWT pada hari pembalasan.
Dan "kitab-kitab amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata, "Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya). (Ingatlah) Tuhanmu tidak menzalimi walau seorang pun".
                                                                                                    (Al-Kahfi : 49)


KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 08 Februari 2013

Khutbah Jumaat_Februari-01/2013

"MENANGKIS PENGHINAAN TERHADAP NABI MUHAMMAD S.A.W" 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita  kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: "Menangkis Penghinaan Terhadap Nabi Muhammad S.A.W".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita menyedari bahawa penghinaan terhadap Baginda Nabi Muhammad saw bukan suatu perkara yang baru, malah ia telah berlaku sejak awal Baginda saw diutuskan lagi. Pelbagai cacian, dan penghinaan yang dilakukan musuh Islam seperti Abu Lahab dan Abu Jahal serta kaum musyrikin Makkah dalam cubaan untuk menghalang dan menyekat perkembangan  agama yang diredhai oleh Allah SWT. Mereka menuduh Nabi gila, ada yang menghina Nabi sebagai pemecah belah masyarakat dan tidak kurang ada yang mengatakan Nabi sesat dan sebagainya.

Kita menyedari bentuk-bentuk penghinaan terhadap Baginda saw berlaku mengikut peredaran zaman. Bermula daripada zaman Baginda saw sehingga kini. Namun kita yakin dan percaya bahawa Allah SWT sentiasa membela dan memelihara rasul tercinta daripada fitnah ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Hijr ayat  95-96:
"Sesungguhnya Kami tetap menjagamu daripada kejahatan orang Yang mempersendakanmu, (Iaitu) mereka yang mengadakan Tuhan yang lain selain Allah, maka mereka akan mengetahui (akibatnya)".

Sedarlah wahai Umat manusia bahawa golongan yang mempersendakan Rasulullah s.a.w ini akan di azab oleh Allah sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah ayat 61:
"Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita menyedari bahawa usaha-usaha ini telah didalangi oleh gerakan zionis Yahudi antarabangsa bagi menyesatkan  Umat Islam khususnya generasi muda atau ‘Y' ini agar keliru dan tidak yakin dengan Islam sebagai agama sebenar. Musuh-musuh Islam melancarkan propaganda dan kebencian terhadap Islam melalui pelbagai langkah negatif seperti menerbitkan video anti-Islam,  pemaparan siri-siri karikatur menghina nabi seperti yang diterbitkan oleh sebuah akhbar di Denmark, karikatur menghina Nabi juga pernah dipamirkan di pusat warisan di Sweden, Nabi Muhammad saw digambarkan sebagai seorang pengganas dan sebagai seorang yang tidak bermoral,  dan yang terkini pada bulan September tahun 2012 satu lagi karikatur anti-Islam yang memfitnah nabi di sebuah majalah mingguan di Perancis juga atas tujuan yang sama telah diterbitkan atas tujuan menghina dan menyakiti Umat Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Apa yang sangat mendukacitakan kita ialah terkadang muncul golongan yang berketurunan Islam tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah telah turut serta menghina junjungan besar Rasulullah saw ini seperti Salman Rushdie seorang warga Iran dengan karyanya "The Satanic Verses". Muncul pula Taslima Nasreen warganegara Bangladesh yang menulis karya menghina Nabi sehingga karyanya diulang cetak di Negara Barat yang membolehkan beliau hidup disalut kekayaan serta diberi perlindungan di Negara Barat. Di Negara Timur Tengah pula muncul seorang penulis novel warganegara Syria iaitu Haidar Bin Haidar yang bermastautin di Mesir sewaktu zaman Hosni Mubarak yang telah memalsukan watak sebenar Nabi saw, Saidatina Khadijah dan Saidatina Aishah di dalam novel karangannya yang dipenuhi penghinaan terhadap Rasulullah saw.

Begitu juga kadangkala muncul sebahagian di kalangan Umat Islam termasuk pemimpinnya yang jahil tentang selok belok agama dan Sirah Nabi saw telah cuba memutarbelitkan fakta berkenaan Sirah dan Sunnah Baginda, menyatakan hukum Islam hanya sesuai  di zaman nabi tidak sesuai zaman hari ini,  juga menutup aurat hanya kerana orang Arab adalah kuat nafsu. Orang Arab berjanggut kerana dahulu tidak ada pisau jilid  adalah sebahagian siri-siri penghinaan terhadap Rasulullah saw tanpa disedari.
Kita mungkin tidak begitu pasti mengenai motif penghinaan terhadap Rasulullah saw dan agama Islam ini. Lebih-lebih lagi sekiranya kenyataan berupa penghinaan itu datang daripada mereka yang mengaku beragama Islam sendiri. Adakah ia bertujuan mengelirukan orang Islam dari segi akidah dan syariatnya atau adakah penghinaan itu bertujuan menjatuhkan agama Islam itu sendiri? Umat Islam perlu menjadi sensitif mengenai perkara ini dan kita tidak boleh membiarkannya berterusan berlaku begitu saja.

Oleh itu, dalam menangani perkara sebegini Umat Islam hendaklah sentiasa berada di barisan hadapan dengan mengambil pendekatan yang bersesuaian serta mampu menangkis penghinaan terhadap Rasulullah s.a.w. Ia memerlukan sifat berani sebagai penentu, bukan semata-semata sebagai pemerhati, berdiam diri dan pasif tanpa sebarang tindak balas. Umat Islam hendaklah sentiasa mengambil langkah-langkah wajar bagi menangkis serangan-serangan musuh Islam seperti:

1.      Umat Islam mestilah meneladani Rasulullah s.a.w dalam semua tindakan, ucapan, akhlak dan keseluruhan kehidupannya. Inilah merupakan resipi utama untuk menangani penghinaan terhadap Rasulullah saw dan Agama Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 31:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

2.      Umat Islam wajib membela dan mempertahankan peribadi Rasulullah s.a.w,  memperjuangkan serta melaksanakan ajarannya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Fath ayat 8-9:
"Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (Wahai Muhammad) sebagai Rasul yang menjadi saksi (terhadap umatmu di akhirat kelak), pembawa berita gembira (kepada orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang yang ingkar). (Kami mengutusmu, Wahai Muhammad) supaya kamu (engkau dan umatmu) beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan agama-Nya dan memuliakan-Nya, serta supaya kamu bertasbih (beribadah) kepada-Nya pada waktu pagi dan petang".

3.      Wajib ke atas Umat Islam memerangi orang yang memerangi agamanya serta wajib mempertahankan agama daripada musuh-musuhnya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 39:
"Perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah (syirik), dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah. Kemudian jika mereka berhenti (daripada kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan".

4.      Wajib ke atas Umat Islam menolong dan memperjuangkan agamanya agar ianya sentiasa dihurmati dan dimuliakan.
Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 7-8:
"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu. (Sebaliknya) orang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka, dan (Allah) mensia-siakan amalan mereka".

5.      Wajib ke atas Umat Islam memberitahu dan menjelaskan bahawa orang-orang yang menghina Nabi akan diazab dan diseksa semenjak di dunia ini lagi.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 57:
"Sesungguhnya orang yang melakukan perkara yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, maka Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, serta menyediakan untuk mereka azab yang menghina". 

6.      Umat Islam dikehendaki memperbanyakkan selawat dan memperbanyakkan menyebut-nyebutnya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 56:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya".

7.    Sangat berharap dan rindu untuk bertemunya sekalipun terpaksa mengadaikan harta dan keluarganya.
Hadis Nabi s.a.w riwayat Muslim:
"Di antara umatku yang paling mencintaiku adalah orang-orang yang hidup selepasku, salah seorang daripada mereka sangat ingin melihatku walaupun terpaksa mengadaikan keluarga dan hartanya".

8.    Umat Islam mesti berani mendepani medium dakwah bentuk baru untuk menarik minat generasi muda agar berjinak-jinak mendekati Islam melalui wasilah hiburan, sukan, filem, internet dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan syariat demi kelangsungan Islam di samping penerapan budaya ilmu, cintai masjid dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 125:
"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik...".

9.    Tindakan menghina nabi adalah perlakuan jenayah dan wajib ke atas pemerintah Islam mengambil tindakan sewajarnya ke atas pelakunya.
Marilah Muslimin sidang Jumaat sekalian, kita kembali melaksanakan segala sunnah baginda dan memperjuangkan Islam agamanya.Tanpa jihad dan pengorbanan pasti akan gagal bagi kita mempertahankan agama tercinta ini daripada anasir-anasir jahat dan musuh-musuh yang sentiasa berusaha untuk mengalahkan kita.
"Dan sesiapa Yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan Yang lain dari jalan orang-orang Yang beriman, Kami akan memberikannya Kuasa untuk melakukan (kesesatan) Yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke Dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali".  
                                                                                                                         (An-Nisa' : 115)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 01 Februari 2013

Khutbah Jumaat_Januari-04/2013

 "MEMUPUK PERASAAN CINTA TERHADAP NABI MUHAMMAD S.A.W" 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya selamat dan berjaya di dunia serta di akhirat.
Pada hari yang mulia ini, bersempena Rabiulawal iaitu bulan kelahiran junjungan mulia Nabi kita Muhammad s.a.w, marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: "Memupuk Perasaan Cinta Terhadap Nabi Muhammad S.A.W".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Nabi Muhammad s.a.w merupakan nabi teragung dan rasul terulung. Bahkan nama Baginda juga adalah bermaksud "yang terpuji". Baginda merupakan nabi dan rasul terakhir yang diutuskan Allah SWT untuk seluruh makhluk di muka bumi ini.
Baginda sangat berakhlak mulia sehingga Saidatina Aisyah R.A isteri Baginda yang mulia menggambarkan bahawa akhlak Baginda s.a.w adalah al-Quran. Begitu juga Allah SWT telah merakamkan ketinggian akhlak Baginda dalam surah al-Qalam ayat 4:
"Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar mempunyai akhlak yang mulia".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya beriman kepada kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu tuntutan. Sesiapa yang tidak mengimanani Baginda serta apa yang dibawa dan diajarkan maka tidak sah Islamnya dan kufur hukumnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 13

"(Ingatlah bahawa) sesiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Kami sediakan bagi orang-orang kafir itu api neraka yang bernyala-nyala".
Beriman kepada Baginda s.a.w bermaksud membenarkan kerasulan dan segala risalah yang dibawa dan diajarkan adalah daripada Allah SWT. Beriman dengan Baginda mestilah selari dan sekata di antara hati dan tutur kata. Di antara maksud taat dan patuh kepada Baginda ialah menuruti segala yang dibawa dan diajarkan serta menjauhi segala yang dilarang.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Biarkanlah apa yang aku tinggalkan (diamkan) untuk kalian. Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kalian adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan (banyaknya) perselisihan mereka terhadap para nabi mereka. Maka apabila aku melarang sesuatu terhadap kalian, tinggalkanlah. Apabila aku memerintahkan sesuatu kepada kalian, maka kerjakanlah semampu kalian".                             (Riwayat al-Bukhari)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w merupakan nikmat dan rahmat Allah SWT kepada sekelian alam. Ini kerana usaha yang Baginda dilaksanakan, dakwah yang disampaikan dan rintangan yang dilalui maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam hingga ke hari ini. Begitu juga dengan warisan al-Quran dan al-Sunah yang ditinggalkan maka dengan keduanya manusia terselamat daripada hidup dalam kegelapan kepada cahaya kebenaran.

Hadis daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku menjadi orang yang paling dia cintai melebihi ibu bapanya, anaknya, dan seluruh manusia yang lainnya".                                                 (Riwayat al-Bukhari)

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w dengan mematuhi segala suruhan dan tegahan Baginda adalah termasuk tuntutan mencintai Allah SWT. Melalui cinta dari Allah SWT maka segala dosa-dosa akan diampunkan.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika kamu benar-benar mencintai Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. (Ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam memenuhi tuntutan keimanan dan tujuan meraih kecintaan Allah SWT, perasaan cinta kepada kekasih-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w perlu dipupuk dan disemarakkan. Namun persoalannya, bagaimana perasaan cinta terhadap Baginda dapat ditanam dan disuburkan?
Perasaan cinta kepada Baginda s.a.w hanya akan wujud setelah keperibadian Baginda dikenali, dipelajari dan dihayati. Bagi setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya maka wajib ke atasnya dirinya dan keluarganya untuk mengenali Baginda dengan lebih dekat sama ada melalui majlis-majlis pengajian, pembacaan kitab-kitab sirah, bacaan qasidah, rawi dan sebagainya.
Amat malang sekiranya ada di kalangan generasi kita umat Islam pada hari ini yang tidak mengenali Nabi, apatah lagi isteri-isteri, anak-anak dan para sahabat Baginda. Malang juga bagi ibubapa yang tidak mendidik anak-anak dalam mengenali dan mencintai Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Malang bagi umat ini kerana apabila Nabi tidak lagi dikenali maka ajaran Baginda akan ditinggalkan dan ianya akan membawa kepada kesesatan, kemusnahan dan kehinaan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Berselawat ke atas Baginda s.a.w dapat menyuburkan rasa cinta terhadap Baginda. Sesiapa yang berselawat ke atas Baginda sekali maka Allah SWT akan berselawat iaitu mengurniakan rahmat dan ganjaran terhadapnya sepuluh kali. Begitu juga mereka yang banyak berselewat kepada Baginda adalah manusia yang paling utama menerima syafaat Baginda di hari perhitungan kelak.
Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang yang paling utama denganku (syafaatku) adalah mereka yang paling banyak selawatnya keatasku".                                                                                                                     (Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, mencintai Rasulullah s.a.w juga bermaksud mencintai kaum keluarga Baginda iaitu "Ahli al-Bait".
Mencintai Rasulullah s.a.w bermaksud menuruti segala suruhan dan larangan Baginda. Iaitu dengan menuruti segala apa yang datangnya daripada Baginda, meninggalkan segala yang dilarang, membenci apa sahaja yang dibenci dan menyayangi serta mencintai apa sahaja yang disayangi dan dicintai Baginda. Setiap muslim sewajarnya memastikan akidah, syariat dan akhlak mereka adalah berpandukan petunjuk al-Quran dan al-Sunah yang ditinggalkan. Ingatlah, ilmu adalah kunci ke arah keselamatan. Kerana tanpa ilmu segala urusan tidak akan terpandu. Sesungguhnya, segala panduan kehidupan telah ditunjuk dan dijelmakan oleh Rasulullah s.a.w.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat dirumuskan daripada khutbah hari ini ialah:
Pertama      :       Mencintai Baginda Nabi Muhammad s.a.w merupakan sebahagian tuntutan keimanan. Setiap muslim wajib beriman, mentaati dan mencintai Nabi Muhammad s.a.w.
Kedua         :       Al-Quran dan al-Sunah merupakan pusaka peninggalan Nabi s.a.w yang dapat menyelamatkan seluruh umat manusia dari terjerumus ke dalam kesesatan dan kegelapan kepada kebenaran dan cahaya iman.
Ketiga         :        Rasulullah s.a.w merupakan contoh teladan terunggul yang selayaknya diteladani. Baginda telah menunjukkan segala contoh dalam segala soal kehidupan seperti pemerintahan, pendidikan, ekonomi dan lain-lain lagi.
Keempat     :       Mengakui bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul yang terakhir. Maka barangsiapa yang mengakui bahawa dirinya adalah Nabi atau Rasul akhir zaman, maka ia adalah sesat lagi menyesatkan.
"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, serta menyediakan untuk mereka azab yang menghina".  
                                                                                                                          (Al-Ahzab : 57)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 25 Januari 2013

Saturday, January 19, 2013

Khutbah Jumaat_Januari-03/2013

 "PENDIDIKAN ANAK-ANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Muslimin sekalian, supaya  sentiasa mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dalam erti kata yang sebenarnya. Marilah kita melaksanakan segala suruhan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan meninggalkan segala bentuk tegahan dan larangan-Nya, supaya kita memperolehi kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: "PENDIDIKAN ANAK-ANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita baru memasuki tahun baru Miladi 2013 dan dalam tempoh  dua tiga minggu ini, telah menjadi rutin kepada setiap ibu bapa sibuk dengan urusan persekolahan anak-anak mereka. Bermula daripada pembelian pakaian sehinggalah urusan pendaftaran anak-anak di sekolah. Bagi yang pertama kali menghantarkan anak-anak dalam sistem pendidikan samada diperingkat tadika, sekolah rendah atau sekolah menengah, ini merupakan pengalaman yang bermakna kepada mereka. Manakala, bagi yang telah biasa dengan urusan persekolahan anak-anak, menguruskan anak-anak ke sekolah adalah satu tanggung jawab yang penting dan tidak boleh diabaikan sama sekali. Setiap sen yang dibelanjakan adalah untuk memastikan kebaikan anak-anak di masa hadapan.

Dalam Islam, pendidikan adalah sesuatu yang amat penting dan perlu diberikan perhatian oleh setiap ibu bapa kerana ianya adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan sebaiknya. Matlamat utama pelaksanaan sistem pendidikan dalam Islam ialah  untuk memberikan penekanan kepada aspek penghayatan melalui ilmu pengetahuan, kemahiran bagi membangunkan insan yang bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam dunia pendidikan hari ini, kita dapati  sistem pendidikan rasmi khususnya sekolah, seolah-olah  telah mengambil alih sebahagian besar tugas keluarga mendidik generasi muda. Disebabkan  kesibukan masyarakat  mencari rezeki untuk keluarga,  terdapat ibu bapa yang menyerahkan sepenuhnya pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam Islam, tugas mendidik anak-anak berkaitan pendidikan agama khususnya ilmu fardu Ain seperti pendidikan al-Quran, ibadat solat, puasa, adab dan asas-asas akhlak Islam perlu dilaksanakan oleh  ibu bapa sendiri. Selain itu,  masyarakat juga perlu bersama-sama mendidik anak-anak ini kerana dalam sejarah perkembangan masyarakat Islam, peranan masjid dan surau adalah amat penting. Ini ditambah pula dengan sumbangan para guru yang secara suka rela mendidik ajaran Islam kepada masyarakat.

Namun, realiti yang berlaku kini,  peranan ibu bapa dan masyarakat semakin berkurangan. Tugas ini nampaknya hampir diserahkan sepenuhnya kepada guru-guru di sekolah-sekolah agama dan juga sekolah-sekolah kebangsaan, khususnya guru-guru pendidikan Islam.  Ini menjadikan tugas guru-guru pendidikan Islam  kini menjadi semakin lebih penting dalam usaha membangunkan generasi muda. Persoalannya dimanakah peranan ibu bapa dan mampukah guru-guru pendidikan Islam ini melaksanakan tugas yang amat besar ini? Apakah ibu bapa masa kini menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik anak-anak mereka kepada pihak sekolah? Bagaimana pula peranan masyarakat dalam mendidik generasi muda?

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dalam memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak, peranan yang dimainkan oleh setiap ibu bapa dan guru adalah amat penting. Guru, ibu bapa dan masyarakat perlu saling membantu dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa mesti membantu guru-guru dalam mendidik anak-anak mereka. Masyarakat pula perlu memberikan segala bentuk bantuan yang diperlukan oleh sekolah dan ibu bapa.  Apa yang menjadi matlamat utama dalam pendidikan ialah melahirkan manusia yang menghayati ajaran Islam yang sebenar yang hanya menyembah Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 102:
"Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadahlah kamu kepada-Nya. Dan (ingatlah) Dialah yang mentadbirkan segala-galanya".

Maka, dalam usaha melahirkan anak-anak yang mempunyai penguasaan ilmu pengetahuan agama dan penghayatan ajaran Islam, tugas memberikan pendidikan Islam wajib diberikan tumpuan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Apa yang menjadi kebimbangan pada masa kini ialah penumpuan yang berlebihan dalam mencapai kecemerlangan peperiksaan dan mengabaikan kecemerlangan peribadi dan sahsiah anak-anak. Apa yang jelas, pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan tidak menjamin kecemerlangan dalam aspek penguasaan ilmu yang sebenar dan juga dalam aspek penghayatan ilmu yang mereka pelajari. Maka, ibu bapa dan guru-guru perlu memberikan yang perhatian yang seimbang dalam aspek kecemerlangan sahsiah dan juga akademik. Kita tidak mahu anak-anak yang cemerlang dalam akdemik dan kerjaya ini gagal dalam kehidupan sebagai seorang Muslim yang mukmin.

Alangkah bahagianya ibu bapa jika anak-anak yang dibesarkan menjadi usahawan berjaya, doktor, peguam, jurutera dan arkitek yang hebat, dan yang paling penting  menjadi manusia yang sentiasa ingat kepada ibubapa, cintakan Rasullallah s.a.w dan sayangkan  Islam dan  taat kepada Allah SWT. Pastinya kita tidak mahu anak-anak yang dididik menolak Islam sebagai cara hidup kerana Allah SWT telah  berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 19:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam...". 

Selain itu, kita juga amat bimbang jika anak-anak kita menjadi manusia yang tidak mahu mengikuti ajaran Islam dan mencari fahaman-fahaman yang lain selain daripada Islam. Jika berlaku, mereka akan tergolong  dalam orang yang mendapat kerugian besar semasa di akhirat nanti. Allah SWT telah menyatakan  dalam surah Ali `Imran ayat 85:
"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, pada hari akhirat kelak dia tergolong daripada orang-orang yang rugi".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Islam sangat menekankan penguasaan ilmu kerana ia adalah asas kepada kepatuhan kepada Allah SWT. Seseorang akan terjamin mendapat keselamatan dan kebahagiaan kerana dia berada dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpin ke jalan yang benar.
Hadith daripada Abu Bakrah R.A. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jadikanlah dirimu orang yang alim, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama atau pun orang yang mencintai tiga golongan tersebut. Dan janganlah engkau menjadi golongan kelima yang sebabnya engkau akan binasa".
                                                                                                                     (Riwayat al-Bazzar)

Imam Al-Mawardi dalam menghuraikan golongan kelima, iaitu golongan yang binasa, ialah orang yang menganggap bahawa ilmu syarak itu tiada faedah dan tidak perlu dipelajari. Sesungguhnya orang ini tenggelam dalam kesesatan yang  jauh daripada mendapat hidayat dan petunjuk Allah. Mereka ini tidak dapat membezakan antara yang benar dan salah yang akhir melakukan kekufuran kepada Allah SWT.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bagi memastikan usaha ini dapat dilaksanakan terdapat beberapa langkah segera yang boleh kita laksanakan bersama. Antaranya adalah;
  1. Setiap ibu bapa perlu memberikan pendidikan agama dan fardu ain kepada anak-anak mereka semenjak dari kecil lagi. Tanggungjawab memberikan pendidikan agama adalah tanggungjawab ibu bapa di rumah. Pendidikan agama anak-anak bermula dari rumah bukannya bermula di sekolah.
  1. Ibu bapa perlu mempunyai pengetahuan agama dan kemahiran yang sesuai dalam mendidik anak-anak mereka. Adalah menjadi kewajipan setiap ibu bapa mempelajari ilmu fardu ain agar mereka dapat menjadi contoh kepada anak-anak mereka.
  1. Guru-guru pula perlu memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak murid mereka kerana kebanyakan anak-anak masa kini lebih banyak bersama-sama dengan guru-guru di sekolah. Peluang keemasan untuk mendidik anak-anak ini perlu digunakan sebaiknya oleh setiap guru.Tugas mendidik adalah tugas bersama semua guru dan bukannya tugas guru-guru pendidikan Islam sahaja.
  1. Ibu bapa dan sekolah perlu berganding bahu dalam melaksanakan tugas mendidik anak-anak. Kerjasama yang kukuh antara sekolah dan ibu bapa akan menjadikan pendidikan di sekolah lebih berkesan.
  1. Masyarakat pula melalui institusi masjid dan surau boleh berperanan dalam mendidik anak-anak kita. Masjid dan surau perlu dibangunkan menjadi pusat untuk berbagai program seperti kelas tambahan agama, tuisyen rakyat, program masa cuti seperti daurah remaja dan program motivasi.

Sebagai kesimpulan, tugas mendidik anak-anak adalah tanggung jawab bersama setiap ibu bapa, guru dan ahli masyarakat. Tugas utama umat Islam ialah untuk membangunkan generasi muda yang lebih baik daripada kita. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh serta kerjasama yang kukuh daripada semua pihak akan dapat melahirkan anak-anak yang beriman dan mengesakan Allah SWT.
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambah iman. Kepada Tuhan mereka jualah mereka bertawakal".                                                                                                          (Al-Anfal : 2)
  
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 18 Januari 2013

Khutbah Jumaat_Januari-02/2013

 "TANGGUNGJAWAB DAKWAH UMAT ISLAM KEPADA MUALLAF" 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala yang diperintahkan oleh-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Tanggungjawab Dakwah Umat Islam Kepada Muallaf".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Apabila seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, secara langsung ia telah memeluk agama Islam dan menjadi tanggungjawab kita mengasihi dan member tunjuk ajar kepada saudara seislam kita khususnya golongan muallaf.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda;
"Seseorang muskim adalah bersaudara bagi muslim yang lain. Maka ia tidak akan menzalimi dan membiarkannya (menderita)".
                                                                                 (Riwayat al-Bukhari)

Allah SWT juga menggambarkan bahawa setiap orang Islam itu bersaudara antara satu sama lain, yang mana asas persaudaraan itu bukan sekadar dari hubungan tali persaudaraan keluarga atau satu bangsa, tetapi disatukan dengan tingkatang aqidah dalam Islam, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10;
"Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat". 

Ayat ini menggambarkan kepada kita bahawa umat Islam mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT sebgai saudara seagama dan banyak hak-hak yang perlu dipelihara bersama-sama. Justeru, bagi melaksanakan tugasan dakwah kepada muallaf, sudah pasti kita tidak dapat lari daripada kaedah yang telah digariskan oleh Allah SWT, iaitu dengan cara berhikmah (bijaksana) dan nasihat pengajaran yang baik.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pelaksanaan dakwah muallaf perlu dimainkan oleh semua pihak. Ia bukanlah tugasan yang dipikul oleh agensi atau individu tertentu sahaja. Ia menjadi tanggungjawab kita bersama, sama ada NGO, masjid, surau, rakan sekerja, pasangan hidup, ahli keluarga dan pemimpin masyarakat. Sifat peka dan mengambil berat akan kebajikan muallaf perlu dipupuk di kalangan kita semua, memandangkan ada sebahagian daripada muallaf yang disishkan oleh keluarga kandung apabila mengambil keputusan untuk kembali kepada fitrah semula jadi kita iaitu Islam. Ada juga yang kehilangan kekayaan dan harta benda, bahkan lebih dahsyat daripada itu ada juga yang menghadapi ancaman dan kecaman. Maka kita perlu memperlihatkan keindahan Islam itu dengan menyediakan perlindungan dan bantuan yang sewajarnya kepada mereka.

Masjid dan surau sebagai institusi utama dalam masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam tugasan dakwah ini. Dakwah yang sebelum ini banyak menjurus kepada orang awam perlu diperluaskan skopnya kepada muallaf agar mereka tidak merasa tersisih dalam masyarakat Islam sekaligus membuktikan peranan sebenar masjid dan surau. Bahkan ada di antara masjid-masjid yang telah aktif dalam melaksanakan usaha dakwah ini dengan mewujudkan Biro Muallaf atau Biro Dakwah dan Muallaf bagi menjayakan usaha murni ini. Sebagai wahana transformasi kepada masyarakat setempat, masjidlah tempat yang paling sesuai dijadikan pusat sehenti terhadap pelbagai aktiviti agama, dakwah dan kemasyarakatan.

Begitu juga dengan NGO muslim yang ada, perlu bergerak aktif dalam melaksanakan dakwah ini dengan melaksanakan program dan kativiti bagi membina kesedaran dan penghayatan muallaf terhadap Islam. Kepakaran-kepakaran tertentu seperti bahasa, budaya dan pengalaman tertentu dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) hendaklah dikongsi bersama muallaf. Ini penting bagi memudahkan mereka menerima maklumat dengan jelas dan mudah difahami apabila orang yang berdakwah dan memberikan tunjuk ajar itu datang daripada bangsa mereka sendiri dan bertutur dengan menggunakan bahasa mereka.

Rakan sekerja dan masyarakat setempat juga tidak terlepas daripada melaksanakan tanggungjawab dakwah kepada muallaf. Mereka perlu lebih terbuka untuk berhadapan dengan muallaf tanpa menyindir-nyindir atau menyungkirkan mereka. Ini penting agar muallaf tidak lagi rasa terpinggir, rasa tersisih dan pelik melihat sikap orang Islam itu sendiri. Dengan wujudnya sifat persaudaraan sesama muslim, maka kita dapat menghancurkan tembok pemisah asobiyyah jahiliyyah yang memandang Islam hanya untuk bangsa tertentu sahaja, sedangkan Islam adalah untuk semua bangsa, dan kita adalah kaum yang dipandang mulia dengan sebab Islam bukan sebab bangsa dan warna kulit.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sifat persaudaraan sesama muslim inilah yang harus kita pupuk dalam hidup bermasyarakat tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun paras rupa. Sekiranya saudara kita ditimpa musibah dan memerlukan pertolongan, maka hendaklah kita meringankan tulang membantunya. Mungkin pada masa hadapan giliran kita pula yang akan memerlukan bantuan mereka. Semangat persaudaraan sesama muslim terutamanya yang melibatkan muallaf di kawasan tempat tinggal kita, hendaklah kita bina atas dasar keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, bukannya kerana kekayaan, warna kulit, pengaruh dan atas sebab duniawi semata-mata. Kerana hasil daripada keimanan inilah masyarakat Islam akan dipandang mulia dan persaudaraan sesama muslim dapat terjalin dengan kukuh.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam berkasih saying, kecintaan dan lemah lembut mereka seperti satu badan. Apabila satu anggota badan mengadu sakit, maka seluruh anggota badan turut menanggung kesakitan dan sama-sama berjaga malam".
                                                                                                        (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dakwah kepada muallaf juga perlu dilaksanakan oleh muallaf itu sendiri, dengan cara mendalami ilmu agama dan mengamalkannya. Ini penting bagi seseorang muallaf itu menunjukkan keindahan Islam kepada keluarganya yang bukan Islam. Perkara ini dapat dilaksanakan melalui pembelajaran dan penghayatan yang mendalam terhadap Islam. Justeru, apabila kita telah memilih Islam sebagai ad-Din atau cara hidup, maka hendaklah kita mempelajarinya dan mengamalkannya. Belajarlah di tempat-tempat yang telah disediakan oleh MAIS, JAIS, agensi agama, masjid, surau atau kelas-kelas pengajian fardhu ain yang disediakan.

Natijah daripada ilmu yang diamalkan inilah akan membuahkan hasil yang baik dan membina akhlak yang mulia. Dengan ini seseorang muallaf itu dapat menjadi contoh teladan yang baik dalam masyarakat dan keluarga mereka.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
"Orang yang paling baik di antaramu ialah orang yang paling baik akhlaknya".                                           (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendaftaran, pengajaran dan penjagaan muallaf di Selangor, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga menyediakan bantuan pendidikan dan kebajikan kepada muallaf terutamanya dalam bidang pelajaran demi kebaikan dan masa depan muallaf itu sendiri. Manakala pihak masjid dan surau perlu mengesan muallaf yang belum lagi mendaftarkan pengIslamannya, maka diseru untuk memklumkan perkara tersebut kepada pihak MAIS atau Pejabat Agama Islam Daerah untuk tindakan pendaftaran segera.

Masjid-masjid mestilah mengumpulkan mereka setiap minggu dan memberikan bimbingan fardhu ain dan melibatkan mereka dalam aktiviti agama dan kemasyarakatan di peringkat masjid.
"Tidak ada seorang pun yang lebih baik perkataannya daripada seorang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata, "Sesungguhnya aku tergolong di kalangan orang Islam (yang patuh kepada Allah)".
                                                                                                                           (Fussilat : 33) 

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 11 Januari 2013

Khutbah Jumaat_Januari-01/2013

"PESANAN UNTUK ORANG MUDA"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan buat diri saya dan tuan-tuan sekalian. Marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan. Taqwa perlu ada pada setiap diri individu Muslim, sama ada yang tua, mahupun yang masih muda. Sesungguhnya taqwa yang sebenar-benarnya itu lahir daripada hati yang mengakui kebesaran Allah SWT, bukan kerana menilai usia yang semakin di penghujung kehidupan. Ini kerana tiada siapa yang mengetahui bilakah kehidupannya akan berakhir.

Tajuk khutbah kita pada kali ini adalah "Pesanan Untuk Orang Muda".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita fikirkan sejenak, sekiranya kita berada di satu padang pasir yang luas, dalam suasana yang panas terik membahang, kepanasannya yang membakar itu akan menyebabkan kita merasa inginkan tempat berteduh, walaupun hanya sekadar sebatang pohon bidara, mahupun serumpun pokok buluh. Kita akan merasa cukup istimewa mendapat tempat bernaung walaupun ruang sekecil itu.

Bagaimana pulakah dapat kita bandingkan dengan kepanasan di tengah padang Mahsyar kelak. Ketika semua manusia berhimpun dan menunggu giliran untuk dihisab oleh Allah SWT. Kita akan merasa peritnya menunggu dalam keadaan teriknya cahaya matahari di akhirat yang jauh lebih panas daripada teriknya panas matahari di dunia.

Namun, Rasulullah s.a.w. memberitahu kita, bahawa dalam suasana panas terik itu, terdapat 7 golongan yang akan mendapat naungan dan teduhan istimewa daripada Allah SWT. Mereka adalah pemimpin yang adil, orang muda yang sentiasa dalam keadaan beribadat kepada Allah, orang yang hatinya terpaut kepada masjid, dua orang sahabat yang saling menyayangi; bertemu dan berpisah kerana Allah, orang yang mengingati Allah dalam keadaan sendirian, lalu mengalir air matanya, lelaki yang digoda oleh wanita berkedudukan dan cantik, lalu dia berkata: Aku takutkan Allah; dan orang yang bersedekah secara rahsia sehingga tidak diketahui oleh tangan kirinya apa yang disumbangkan oleh tangan kanannya.                            (Mafhum hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perhatikanlah! Bagaimana Islam telah meletakkan kedudukan orang muda dalam hadis di atas. Selepas pemimpin yang adil, golongan kedua yang menerima naungan tersebut adalah orang-orang muda; yang masa mudanya digunakan untuk beribadat kepada Allah SWT.

Kita jangan hairan dengan orang-orang tua yang banyak beribadah. Jangan kita merasa kagum dengan warga emas yang sering berzikir dan mengingati Allah. Itu sudah sewajarnya menjadi tabiat manusia yang menyedari bahawa saat kematiannya semakin hampir. Kita sepatutnya merasa pelik apabila ada di kalangan orang-orang tua yang masih bersenang-lenang dengan kehidupan dunianya. Mereka yang masih meringan-ringankan ibadahnya. Tidak dijenguknya surau dan masjid selain daripada hari Jumaat dan hari raya. Mereka ini sepatutnya semakin menginsafi bahawa waktu semakin sempit. Kudrat juga semakin sedikit.

Lain halnya dengan orang-orang muda dan anak-anak remaja. Mereka yang masih di bawah pertengahan usia ini mula merasa indahnya hidup dunia. Mereka mula mengenali keseronokan cinta manusia. Mereka merasa masa masih panjang untuk bermain pelbagai permainan yang dicipta untuk mereka.

Namun, ini hanyalah pemuda biasa. Ini adalah kelaziman anak-anak muda. Lihat sahaja di persekitaran tempat tinggal kita. Anak-anak yang sering melepak di tempat-tempat awam. Remaja yang cuba membingitkan keadaan yang tenang dengan bunyi motorsikal. Juga pemuda-pemuda yang sibuk bermain cinta yang belum pasti hujung episodnya.

Sebaliknya, Islam menuntut kita memberi lebih perhatian kepada golongan ini. Apa yang kita semai hari ini adalah pokok-pokok yang akan meneduhi kita 10 atau 20 tahun lagi. Jika benih itu adalah benih pokok yang mendatangkan buah dan bungaan indah; maka masa depan kita adalah lebih bahagia dan cerah. Sebaliknya, jika benih itu adalah pokok yang berduri, atau pokok ranting yang hanya menghamburkan sampah; maka masa depan kita hanya akan menimbunkan lebih banyak masalah.

Justeru, mimbar Jumaat hari ini menyeru sekalian kaum Muslimin. Marilah kita mendidik anak-anak muda dan remaja kita supaya dekat dengan agama. Hanya dengan didikan agama, kita akan selamat daripada segala kedukaan dunia dan kesengsaraan akhirat.

Mimbar juga menyeru para remaja dan anak-anak yang masih bersekolah. Penuhilah masa anda dengan peluang-peluang untuk beribadah. Sudah selesaikah ilmu-ilmu fekah yang dituntut? Sudah sempurnakah cabang-cabang fardu ain yang mesti ditekuni sebelum maut?

Adakah kita sudah dapat membaca al-Qur'an dengan bacaan yang betul dan lancar? Adakah kita sudah boleh melaungkan azan dan iqamat, atau sekurang-kurangnya memenuhi panggilan muazzin untuk bersolat? Manfaatkanlah usia muda anda dengan peluang untuk beribadah. Walaupun ibadah tidak menghalang anda untuk beriadah. Tapi janganlah bermain dan bersukan tidak kira masanya sehingga membiarkan masjid dan surau sepi tanpa jemaah.

Para remaja hendaklah merebut peluang di usianya yang masih muda, kerana peluang di Padang Mahsyar tersedia, untuk mendapatkan kedudukan yang mulia, di sisi Allah Tuhan Maha Pencipta.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 13:
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah petunjuk".      
                                          
Jadikanlah para pemuda Ashabul Kahfi sebagai idola dan ikutan kita. Mereka melarikan diri kerana mempertahankan iman. Jadikanlah para sahabat Rasulullah s.a.w sebagai role model kerana kesungguhan mereka mempertahankan baginda dalam membuat perubahan.

Jangan kita hiraukan manusia beragama lain yang sibuk dengan K-Pop dan Gangnam Style. Jangan kita terpengaruh dengan pelbagai hiburan yang melalaikan. Jangan kita leka dengan media-media sosial yang melewatkan kita tidur malam. Akibatnya kita terlewat untuk menunaikan solat subuh hingga waktu yang diharamkan.

Sebaliknya, lihatlah Usamah bin Zaid yang memimpin tentera Islam memerangi tentera Rom pada usia 18 tahun. Contohilah ketakwaan Muhammad Al-Fatih yang memimpin tentera Islam menakluki Konstantinopel (Constantinople) pada usia 21 tahun.

Pelajarilah lebih mendalam tentang Islam, agama kita. Islam bukan agama yang hanya mengatur urusan ibadah di dalam surau dan masjid. Bahkan, ia adalah agama yang mengeluarkan manusia dari menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah SWT, agama yang mengeluarkan manusia dari kezaliman manusia dan agama yang mengeluarkan manusia dari kesempitan dunia, kepada keluasan dunia dan akhirat.

Jika kita mahu bercinta, bercintalah bila kita sudah berumahtangga. Jika kita mahu berhibur, berhiburlah dengan cara yang mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Pencipta. Jika kita mahu bermain, bermainlah dalam keadaan ibadah kita tidak diketepikan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya anak merupakan harta yang tidak ternilai harganya. Mereka ialah amanah yang Allah kurniakan kepada ibubapa untuk dijaga dengan sempurna.

Oleh itu, marilah kita hayati nasihat Saidina Umar kepada sahabat-sahabatnya bahawa;
"Didiklah anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu".
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil tanggungjawab mendidik dan memberikan bimbingan yang sewajarnya agar anak-anak muda kita tidak tersasar jauh daripada ajaran agama Islam yang mulia ini.

Bandingkanlah antara dua petikan ayat-ayat al-Qur'an berikut, manakah yang kita mahu jadikan sasaran dalam pelan untuk generasi muda kita?:
Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 59:
"Maka datanglah sesudah mereka, keturunan-keturunan yang melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka mereka bakal menghadapi azab (di dalam neraka)".
"Dan orang-orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amalan mereka. Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya".
                                                                                                                  (Al-Tur : 21)


KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. 

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 04 Januari 2013