Thursday, August 7, 2014

Bab 14 - Pedang Rasulullah s.a.w.

Pedang Rasulullah s.a.w.

Anas Bin Malik berkata:

“ Hulu pedang Rasulullah s.a.w. diperbuat daripada perak. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Abu Dawud)


Sa'id Bin Abul Hasan Al-Bashri berkata:

“ Hulu pedang Rasulullah s.a.w. diperbuat daripada perak. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Abu Dawud)

Bab 13 - Cara Rasulullah s.a.w. memakai cincin

Cara Rasulullah s.a.w. memakai cincin

Ali Bin Abi Thalib berkata:

“ Rasulullah s.a.w. pernah memakai cincin di jari tangan kanan baginda. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Nasa'i)


Ibnu Umar berkata:

“ Rasulullah s.a.w. membuat cincin daripada perak. Apabila memakainya, Rasulullah s.a.w. menghadapkan batu cincin itu ke telapak tangan beliau. Terdapat ukiran Muhammad Rasulullah pada cincin itu. Baginda melarang sesiapapun menambah ukiran pada cincin itu. Cincin itulah yang jatuh dari tangan Mu'aiqib ke dalam perigi Aris. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Anas Bin Malik berkata:

“ Rasulullah s.a.w. memakai cincin di jari tangan kanan baginda. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Nasa'i)

Saturday, January 25, 2014

Khutbah Jumaat_Januari-04/2014

"KEJIRANAN: HIDUP BERSATU DAN BERMUAFAKAT"

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya dan selamat di dunia serta di akhirat.
Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk:

"KEJIRANAN: HIDUP BERSATU DAN BERMUAFAKAT"
.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Jiran turut disebutkan sebagai tetangga iaitu mereka yang tinggal berhampiran dengan kediaman kita. Dalam Islam, kawasan kejiranan meliputi mereka yang berada dalam jarak 40 buah rumah dari semua sudut rumah kita. Realitinya di negara ini, jiran itu terdiri sama ada muslim dan bukan muslim, atau melayu, cina, india dan sebagainya.

Islam menegaskan jiran mempunyai kedudukan yang istimewa sehinggakan Rasulullah SAW sering memperingatkan terhadap hak-hak mereka. Selain itu, dalam Islam soal kejiranan turut dikaitkan dengan soal keimanan seseorang.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau berdiam diri."
                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

Oleh kerana jiran kita di negara ini terdiri daripada pelbagai agama, fahaman dan bangsa, maka hak atau kedudukan yang pelbagai perlu diketahui, difahami seterusnya dilaksanakan.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Antara faktor yang mendatangkan kebahagian dalam hidup menurut Islam ialah memiliki jiran yang baik.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Di antara kebahagian seorang Muslim ialah tempat tinggal yang selesa, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa."
                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

Justeru, untuk memastikan kita mendapat jiran yang baik, kita perlu terlebih dahulu menjadi jiran yang baik. Jiran yang baik ialah mereka yang mengetahui hak-hak jirannya, menjaga keharmonian bersama jirannya dan sentiasa menganggap jiran itu sebahagian daripada keluarganya.
Hadis daripada A'isyah  RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris".
                                                                                                    (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, mengetahui hak-hak jiran adalah antara perkara penting dalam Islam yang perlu diketahui oleh setiap individu Muslim. Antara hak-hak jiran yang perlu diketahui, difahami dan diamalkan ialah:
Pertama: memahami konsep toleransi dan tiada paksaan dalam Islam.

Islam bersifat agama yang mengiktiraf kedudukan manusia yang bersifat pelbagai agama (multi-religious) dan pelbagai budaya (multi-cultural). Kerana itu, Islam memberikan kebebasan dan menegaskan bahawa tiada paksaan dalam Islam. Justeru, memainkan isu atau sentimen perkauman sama ada berdasarkan agama atau bangsa atau keturunan atau kaum bukanlah daripada Islam. Sedarlah, tiada penyelesaian yang boleh dicapai dengan membangkitkan isu perkauman. Sesungguhnya mustahil untuk kita menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu kaum, tetapi kita mampu untuk menjadikan mereka sebagai saudara seagama dengan menyeru kepada Islam.

Kedua: mewujudkan suasana harmoni dan kemesraan.
Sesungguhnya individu atau jiran yang baik pasti akan menjalinkan hubungan baik sesama jiran. Saling kenal mengenali, saling bertegur sapa , melemparkan senyuman, sentiasa bertanya khabar dan berusaha untuk tidak menimbulkan masalah yang boleh membawa kepada persengketaan seperti membuka keaiban jiran tetangga.

Ketiga: tolong menolong atau bantu membantu dalam pelbagai urusan.
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan jiran ialah supaya kita membantu mereka dalam segala urusan seperti menziarahi apabila sakit atau kematian, mengiringi jenazah dan mengucapkan tahniah atau takziah pada waktu-waktu yang bersesuaian. Umumnya, tolong menolong dalam perkara kebaikan. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 2:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

Keempat: menjaga hak-hak mereka dan tidak menimbulkan ketidakselesaan.
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan hal ini ialah jangan meninggikan dinding kerana ia akan menghalang laluan angin dan penglihatan kecuali dengan izin mereka. Memberikan sedikit dari masakan apabila ada bau yang menimbulkan keinginan. Selain itu, adab-adab lain dalam kehidupan berjiran ialah janganlah meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan hak-hak orang lain, mengganggu urusan keluar-masuk jiran, mengganggu kelancaran jalan, dan hendaklah menjaga hasil buangan seperti sampah agar tidak menggangu keselesaan dan kebersihan persekitaran.

Kelima: memperlihatkan keindahan Islam dalam segala urusan kehidupan.
Satu tanggungjawab penting kepada setiap Muslim untuk menyampaikan serta memperlihatkan keindahan Islam kepada jiran yang bukan Muslim. Inilah peluang dan ruang dakwah kita kepada mereka. Apabila mereka dikenali maka lebih mudah untuk kita dekati. Perlihatkan diri kita sebagai Muslim yang ikhlas, amanah, benar, bertanggungjawab, berintegriti dan segala perilaku yang indah lagi mempesonakan. Dalam hal ini, Rasululllah SAW mengajarkan kita beberapa perkara untuk mendekati jiran yang bukan Islam iaitu dengan menghadiahkan sesuatu atau membahagiakan mereka dengan sesuatu.

Rebutlah peluang untuk sama-sama kita berdakwah kepada jiran yang bukan Islam. Mudah-mudahan mereka tidak memandang serong terhadap Islam. Bahkan mereka mengenali, memahami dan mungkin akhirnya menerima Islam.
Hadis daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Demi Allah, dengan hidayah yang kamu usahakan Islamnya seorang lelaki itu lebih baik bagi kamu daripada harta yang paling berharga."
                                                                                                                   (Riwayat Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Kesimpulan dan pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah pada hari ini ialah:
Pertama: Jiran atau tetangga iaitu mereka yang tinggal berhampiran dengan kediaman kita. Menurut Islam, jiran ialah mereka yang tinggal bersebelahan sehinggalah rumah-rumah yang berada dalam jarak 40 buah rumah dari semua sudut.

Kedua: Jiran tetangga kita terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Justeru, memahami kelainan agama, budaya dan adat adalah sebahagian usaha awal sebelum kita dapat melaksanakan hak-hak jiran.

Ketiga: Jiran mempunyai kedudukan yang  istimewa dalam Islam sehinggakan Rasulullah SAW sering memperingatkan kita tentang keutamaan hak-hak mereka. Selain itu, menjaga keharmonian sesama kejiranan adalah antara soal keimanan.

Keempat: Setiap Muslim perlu mengetahui hak-hak jiran seperti memahami konsep toleransi dalam beragama atau berfahaman, sering mewujudkan suasana harmoni dan kemesraan, tolong menolong dalam pelbagai urusan dan sebagainya.

Kelima: Merebut peluang untuk berdakwah dengan memperlihatkan keindahan Islam kepada jiran yang bukan Islam adalah usaha yang perlu dimanfaatkan oleh semua untuk kebaikan kepada agama dan negara.
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua,  dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."                         
                                                                                                                            (Al-Nisa : 36)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 24 Januari 2014

Saturday, January 18, 2014

Bab 12 - Cincin Rasulullah s.a.w.

Cincin Rasulullah s.a.w.

Anas Bin Malik berkata:

“ Cincin Rasulullah s.a.w. diperbuat daripada perak dan batunya adalah batu hitam Habsyi. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Nasa'i)


Anas Bin Malik berkata:

“ Ukiran cincin Rasulullah s.a.w. adalah tulisan Muhammad pada satu baris, Rasul pada satu baris dan Allah pada satu baris. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Bukhari)

  
Anas Bin Malik berkata:

“ Apabila Rasulullah s.a.w. hendak masuk ke bilik air, Baginda menanggalkan cincinnya. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Friday, January 17, 2014

Sahabat Rasulullah s.a.w. Dijamin Syurga

Abdul Rahman bin ‘Auf, Sa’id bin Zaid r.a. berkata:

Sabda Rasulullah SAW: Abu Bakar di dalam syurga, ‘Umar di dalam syurga, ‘Uthman di dalam syurga, ‘Ali di dalam syurga, Tolhah di dalam syurga, al-Zubair di dalam syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di dalam syurga, Sa’ad di dalam syurga, Sa’id di dalam syurga dan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah di dalam syurga.”  

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi)

01) Abu Bakar As-Siddiq r.a.
02) Umar Bin Al Khattab r.a.
03) Uthman Bin Affan r.a.
04) Ali Bin Abi Talib r.a.
05) Tolhah Bin Ubaidillah r.a.
06) Zubair Bin Awwam r.a.
07) Sa'ad Bin Abi Waqqash r.a.
08) Sa'id Bin Zaid r.a.
09) Abdul Rahman Bin Auf r.a.
10) Abu Ubaidah Bin Jarrah r.a.

*** Selain itu masih ada beberapa orang lagi sahabat yang dijamin syurga.

Khutbah Jumaat_Januari-03/2014

 "BERDAKWAH SATU KEWAJIPAN"

Muslimin yang dirahmati Allah swt ,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita ke hadrat Allah SWT dengan mentaati segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita dikurniakan hidayah oleh Allah SWT dan segala amal ibadat kita diterima di sisiNya sebagai bekalan untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Khutbah pada hari ini bertajuk  "BERDAKWAH SATU KEWAJIPAN ".

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Dakwah adalah satu wasilah untuk menyampaikan ajaran   Allah kepada umat manusia. Ia merupakan tugas utama para rasul walaupun menempuh pelbagai halangan dan rintangan dalam menyampaikan risalah Islam. Mereka melaksanakan tanggungjawab ini tanpa rasa jemu, kecewa dan putus asa.
Apakah makna dakwah? Dakwah secara umumnya bermaksud menyeru, mengajak, memujuk, mentarbiyah, mendidik, melatih dan memimpin orang yang diseru agar mengakui dan menerima kebenaran risalah Allah.  Ia juga merangkumi perkara berkaitan ibadah kepada Allah, hubungan sesama manusia dan alam serta seruan amar makruf nahi mungkar. Melalui dakwah kita dapat melihat keberkesanan, kesyumulan dan kesempurnaan Islam dalam memandu dan memberi hidayah kepada manusia hingga hari kiamat. Allah Taala berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 3:
"Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatku kepadamu, dan aku telah redhakan Islam menjadi agama kamu,"

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah S.W.T
Sesungguhnya tugas dakwah adalah kewajipan setiap orang Islam. Ianya menjadi penting demi memelihara kesucian dan kemuliaan ajaran Islam. Namun Islam menggariskan prinsip-prinsip asas dalam berdakwah berteraskan firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 125:
"Serulah ke jalan Tuhanmu(wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka(orang yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk"

Melalui ayat ini diterangkan tiga prinsip utama dalam melaksanakan tugasan dakwah iaitu:
1.           Al Hikmah(kebijaksanaan).
Para daie perlu memiliki kebijaksaaan dan berhikmah dalam menyampaikan dakwah. Mereka juga hendaklah memiliki ilmu Islam yang mantap, kefahaman yang mendalam, berkemahiran tinggi dan penghayatan ajaran Islam yang kukuh.Ia sebagai bekalan berharga kerana rintangan semasa hari ini merupakan senario halangan yang perlu ditempuh oleh para para daie seperti dunia tanpa sempadan, tekanan hidup dan masa yang terbatas.

2.         Al Mauizatul Hasanah(kata nasihat yang baik)
Ia merupakan pendekatan terbaik untuk membangkitkan kesedaran yang berkesan dalam kehidupan. Maka ia perlu diterapkan dalam diri para daie sifat-sifat mahmudah seperti bertutur kata dengan baik dan bersopan santun, bersikap sebagai sahabat, sentiasa mesra dan bersikap tolak ansur.

3.         Al Mujadalah(berbahas dengan cara yang baik)
Kaedah ini merupakan satu cara yang sihat dalam memantapkan ilmu dan perbahasan mencari kebenaran. Elakkan perbahasan dalam masalah agama yang hanya menjurus kepada kepuasan hati dan perasaan kerana ia akan jauh dari kebenaran dan keredhaan Allah sebagaimana dituntut dalam matlamat dakwah.
Hakikatnya dakwah mampu merubah pemikiran dan kesedaran jiwa, agar jiwa yang keras menjadi lembut, nafsu yang buas berjaya dijinakkan dan hati yang degil akan tunduk dan patuh kepada perintah Allah.

Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Dalam mencari individu contoh yang mempunyai ciri-ciri pendakwah hebat seperti yang disebut tadi, maka sudah pasti kita akan merujuk kepada baginda Rasulullah SAW. Mengambil satu kisah bagaimana baginda yang sentiasa istiqamah dan penyabar telah memberi makan dan minum kepada seorang pengemis yahudi yang buta. Setiap kali disuapkan makanan oleh baginda ia akan menyumpah seranah nabi Muhammad dengan kata-kata nista tanpa mengetahui insan yang sedang menyuapkan makanan itu adalah manusia yang dikejinya. Baginda Rasulullah SAW berterusan menyuapkan makanan hinggalah baginda wafat. Tugas itu kemudian digalas oleh Saidina Abu Bakar. Namun pengemis yahudi terasa kelainan dalam suapan seperti kebiasaan yang ia terima. Lalu dikhabarkan oleh saidina Abu Bakar bahawa insan yang menyuapkannya selama ini adalah Nabi Muhammad SAW yang telah wafat. Betapa ia mendengar perkhabaran itu luluhlah hatinya, menyesallah ia kerana caci nista selama ini. Tidak disangkanya insan yang dibenci, dikutuk, dimaki hamun, dicerca adalah orang yang telah berbuat baik dan bersikap ihsan kepadanya. Pada akhirnya wanita yahudi itu telah memeluk Islam.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah
Saluran dakwah kini bukan sahaja tertakluk kepada lisan(pertuturan) atau tulisan tetapi mencakupi dakwah dengan amalan da contoh perbuatan yang dinamakan dakwah bil hal. Dakwah juga tidak semestinya disampaikan di masjid dan surau tetapi tempat-tempat yang menjadi tumpuan yang tidak melanggar batas syarak. Dakwah masa kini melalui internet perlu diberi tumpuan kerana ia mempunyai bilangan pengguna dan peminat yang tinggi. Lebih menarik lagi ia digemari oleh golongan remaja dan belia yang sudah dijangka sukar mengikuti program agama secara formal seperti di masjid atau surau. Kemampuan menguasai teknologi ini akan menyebabkan pembangunan dakwah Islamiah menjadi lebih dinamik, tersebar dengan meluas dan mudah diterima oleh masyarakat sejagat.

Satu lagi pendekatan dakwah yang cukup berkesan dewasa ini adalah melalui seni. Semua sedia maklum setiap insan gemarkan hiburan seni samada muzik, drama atau filem. Sesungguhnya Islam mengharuskan hiburan namun ianya hendaklah tidak melanggar batas-batas syarak dan melalaikan.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Marilah kita melaksanakan misi dakwah yang menjadi tanggungjawab semua insan. Kita laksanakannya berdasarkan kemampuan yang ada. Sekiranya kita mahir IT maka gunakanlah kemahiran itu untuk menyeru manusia kepada Islam. Gunakanlah laman social dan internet sebagai satu medan untuk menyebarkan risalah Islam.

Pendekatan dakwah bil hal perlu diperluaskan lagi . Menjaga akhlak dan berperibadi mulia untuk menjadi cerminan kepada masyarakat adalah merupakan antara pendekatan dakwah secara bil hal yang mudah dilakukan. 

Para pendakwah pula hendaklah keluar dari kepompong zon selesa. Mari kita turun ke lapangan dakwah menyantuni dan membajai jiwa-jiwa yang  kontang dan lemah iman yang terlibat dengan gejala negatif agar kembali kepada ajaran dan penghayatan Islam.

Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang Yang fasik."
                                                                                              (Al-Imran : 110)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 17 Januari 2014

Khutbah Jumaat_Januari-02/2014

 "MENGHAYATI KEPERIBADIAN RASULULLAH S.A.W DALAM KEHIDUPAN" 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan iaitu dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya dan selamat di dunia serta di akhirat.

Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: "MENGHAYATI KEPERIBADIAN RASULULLAH SAW DALAM KEHIDUPAN".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Sesungguhnya keagungan Rasulullah SAW diperakui ramai. Muslim atau bukan Muslim. Dahulu sehingga kini. Hampir semua menyatakan bahawa Baginda SAW adalah insan paling agung. Sekiranya diletakkan insan lain di sisi Rasulullah SAW untuk dibandingkan, maka Rasulullah SAW adalah yang terbaik dalam segala hal kehidupan. Ketakwaan, keberaniaan, kelembutan, sifat pemurah, sifat penyayang, sifat toleransi dan sebagainya. Kerana itu, orang yang pernah bersua, melihat dan bersama Baginda SAW pasti akan berkata Baginda adalah yang terbaik dalam segala-galanya.

Saidina Ali bin Abi Talib RA menyifatkan Rasulullah SAW sebagaimana bermaksud: "Baginda adalah penutup kepada para nabi (Nabi terakhir). Baginda adalah insan yang amat pemurah dan paling lapang dadanya. Ungkapan atau ucapan Baginda adalah yang paling benar (tepat). Perilaku Baginda amat lembut dan Baginda amat peramah dalam pergaulan. Barangsiapa yang melihat pasti menaruh hormat terhadap Baginda. Sesesiapa yang bergaul atau berinteraksi, kemudian mengenali, pasti akan mencintai Baginda. Orang yang menceritakan sifat Baginda pasti akan berkata: "Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang yang seumpama Baginda."                                                         (Riwayat At-Tarmidzi)

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Mempelajari, memahami, menghayati seterusnya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan adalah tuntutan agama.
Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
Ringkasnya, sesiapa yang ingin cemerlang dan berjaya di dunia dan di akhirat mestilah mencontohi keperibadian Rasulullah SAW. Persoalannya, bagaimanakah kaedah atau cara untuk kita menghayati dan mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan?

Antara kaedah atau tatacara pemahaman dan perlaksanaan dalam kita menghayati seterusnya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW adalah seperti berikut:
Pertama: Meyakini bahawa Rasulullah SAW itu adalah penutup dan Rasul terakhir yang menjelaskan bahawa kehadiran Baginda SAW telah menyempurnakan Islam dan telah mewujudkan panduan-panduan dalam segala aspek kehidupan manusia. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah hidup selama 23 tahun selepas penurunan wahyu dalam menyempurnakan panduan dan petunjuk terhadap segala urusan kehidupan manusia selama 13 tahun di kota Makkah dan 10 tahun di Madinah akhirnya menyaksikan pembinaan sebuah model negara dan kerajaan contoh dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kedua: menjadikan keperibadian Baginda SAW sebagai rujukan dengan mengambil sumber-sumber yang tidak diragui kebenarannya iaitu Al-Quran, Al-Sunnah dan tafsiran para ulama muktabar yang menjadi rujukan ramai. Segala peristiwa penting yang berlaku terhadap Baginda dan para sahabat tercatat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Justeru, marilah sama-sama kita mempelajari, mengkaji dan menghayati keperibadian Baginda SAW melalui majlis-majlis pengajian, pembacaan kitab-kitab sirah, penghayatan terhadap maksud pembacaan qasidah atau pujian-pujian terhadap Baginda dan sebagainya. Jadikan bacaan kitab-kitab seumpama kitab A-Syama'il Al-Muhammadiyyah" sebagai bacaan rutin untuk diri dan keluarga. Mudah-mudahan seluruh ahli keluarga kita hidup dengan menjunjung perintah Allah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketiga: Mencontohi Rasulullah SAW sebagai contoh insan yang cemerlang dalam hubungan manusia dengan pencipta dan hubungan manusia sesama manusia. Rasulullah SAW adalah insan yang paling bertakwa dan paling taatkan perintah dan larangan Tuhan. Amal ibadat Baginda adalah yang terbaik dikalangan semua dan seluruh insan. Dalam contoh hubungan manusia sesama manusia, Baginda adalah anak, suami, ayah, saudara, sahabat, rakan, jiran dan kenalan yang amanah dan bertanggungjawab. Baginda bersifat dengan segala sifat terpuji dan jauh sama sekali dari sifat terkeji. Baginda diutuskan Tuhan untuk menyempurnakan akhlak dan kelakuan.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan (manusia dengan) akhlak yang baik."                                    (Riwayat  Al-Bukhari)

Keempat: Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam setiap aspek, bidang dan porfolio kehidupan atau pekerjaan manusia. Baginda adalah imam, guru, pendidik, ketua negara dan ketua tentera. Syariat dan kehidupan yang dibawanya menjadi rujukan pakar ekonomi, kedoktoran dan sebagainya. Sebagai contoh, Baginda bukan sahaja ahli ibadah yang paling taat kepada Allah, bahkan baginda adalah pemimpin yang berjaya menyusun pemerintahan terunggul meliputi segala bidang. Justeru, apa sahaja portfolio kita, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan. Lihat dan contohi bagaimana Baginda SAW memimpin negara, bagaimana Baginda membentuk akhlak bangsa, bagaimana Baginda menyelesaikan segala permasalahan dan sengketa.

Kelima: Memiliki azam yang tinggi untuk mencontohi keperibadian Baginda SAW dalam kehidupan. Ketahuilah bahawasanya mencontohi Baginda adalah satu-satunya jalan untuk mencapai kebahagian dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, marilah kita menjalankan peranan masing-masing. Sebagai seorang ketua keluarga maka contohilah baginda dalam diri, isteri dan anak-anak. Sekiranya kita ingin melihat keindahan sesebuah negara Islam yang menjamin kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran hidup, maka mulakan penerapan nilai-nilai Islam dalam pengurusan dan pentadbiran negara,  insyaAllah kita akan mendapatkannya. Al-Syahid Hasan Al-Banna menyebutkan: "Tegakkan negara Islam bermula dari dalam dirimu, nescaya akan tertegaklah Islam di bumimu."

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat dirumuskan daripada khutbah hari ini bagi setiap muslim adalah :
Pertama:   Hendaklah mentaati perintah Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan.
Kedua : Hendaklah mencontohi dan menghayati keperibadian Rasulullah SAW.
Ketiga   :   Hendaklah menerapkan nilai-nilai murni yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
"Katakanlah (wahai Muhammad) " sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya. "

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. Demikian jua Ya Allah, tambah dan luaskanlah rezeki orang yang mewakafkan hartanya di negeri ini, limpahkanlah nikmat iman dan kesihatan yang berpanjangan kepada mereka, terimalah wakaf mereka dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

Khutbah Jumaat Bacaan 10 Januari 2014

Khutbah Jumaat_Januari-01/2014

 "TARBIAH RASULULLAH SAW PEMANGKIN PEMBANGUNAN UMMAH" 

Muslimin yang dirahmati Allah swt ,
Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah subhanahu wataala dengan melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT dan memperbanyakkan selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW di samping sentiasa berusaha melaksanakan segala sunnahnya. Mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.

Khutbah pada hari ini bertajuk "TARBIAH RASULULLAH SAW PEMANGKIN PEMBANGUNAN UMMAH".

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT ,
Tarbiah atau pendidikan merupakan asas yang sangat penting dalam membangunkan sesebuah ummah, sama ada pembangunan jasmani mahupun rohani. Manakala ilmu pula dapat membimbing manusia ke arah kehidupan yang sejahtera dan harmoni. Justeru, pendidikan dan ilmu adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan kerana kedua-duanya saling berkait dan memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan manusia.

Penekanan Rasulullah SAW terhadap kepentingan pendidikan ini telahpun diterjemahkan dalam kehidupan baginda sendiri yang berperanan sebagai guru sepanjang  tempoh menyampaikan risalah Islam. Ketika di zaman permulaan Islam, baginda telahpun menjalankan siri-siri tarbiah kepada para sahabat termasuklah di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Proses pentarbiahan ini berterusan sehinggalah baginda berhijrah ke kota Madinah, di mana baginda telah mendirikan Masjid an-Nabawi untuk melaksanakan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti-aktiviti pentarbiahan serta pentadbiran negara.

Berkat keazaman dan kesungguhan baginda dalam mentarbiah para sahabat ini akhirnya telah melahirkan generasi yang kuat pegangan akidah kepada Allah SWT, kuat cinta mereka kepada baginda dan juga kuat cinta mereka kepada ilmu. Mereka menjadi pejuang yang berada di saf-saf hadapan ketika berjihad bersama Rasulullah SAW dan mereka jugalah yang memenuhi ruang Masjid an-Nabawi ketika mana Nabi SAW menyampaikan risalah Islam.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Mimbar jumaat pada hari ini menyeru agar kita mengambil iktibar dan menghayati keazaman serta kesungguhan baginda dalam membangunkan umat Islam menjadi insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Kita juga seharusnya menjadikan para sahabat Rasulullah SAW sebagai penyuntik semangat dalam meningkatkan azam serta kesungguhan untuk terus bangkit, menjadi umat yang terbaik di akhir zaman ini.
Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 110 :
"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) ".

Pada hakikatnya, matlamat untuk menjadi umat yang terbaik dan bertaqwa pada hari ini tidak mungkin akan tercapai melainkan ianya mestilah bermula dengan proses tarbiah ataupun pendidikan. Adapun perkara terpenting dalam pengisian tarbiah ini adalah dengan mendahulukan ilmu keagamaan yang dapat meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Dalam waktu yang sama, tidak dapat dinafikan bahawa ilmu-ilmu yang lain juga perlu diberikan penekanan sebagai memenuhi keperluan hidup di dunia. Sesungguhnya, iman yang kental dan jiwa yang dipenuhi dengan ilmu ini akan menjadi perisai kepada kita dalam mengharungi apa jua rintangan untuk menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia dan juga di akhirat.

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT, 
Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita seharusnya bersama-sama meningkatkan azam dan tekad untuk terus belajar dan menguasai pelbagai cabang ilmu. Ini kerana apabila umat Islam memiliki ilmu, mereka akan mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain. Sebaliknya pula, apabila tidak dapat menguasai ilmu, kita akan menjadi bangsa yang lemah dan mudah ditindas oleh bangsa lain yang jauh lebih maju daripada kita. Hal ini dapat kita lihat dengan jelas di sesetengah negara yang miskin, di mana mereka terpaksa meminta belas ihsan daripada kuasa-kuasa besar dunia yang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Justeru beringatlah, bahawa punca kelemahan dan kemunduran umat Islam pada hari ini adalah kerana kurangnya ilmu dan kejahilan yang melanda diri mereka.
Firman Allah dalam surah Al- Mujadalah ayat 11:
"wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu supaya memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (seba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".

Sesungguhnya ilmu adalah seumpama cahaya yang dapat menerangi kehidupan kita daripada kegelapan dan kesesatan. Dengan ilmu, kita akan menjadi insan yang bersikap positif dan amanah terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan. Dengan ilmu juga, akan menjadikan kita insan yang sentiasa bermotivasi untuk meningkatkan mutu kerja serta bergerak pantas untuk lebih maju ke hadapan.
Firman Allah SWT di dalam surah Al- Mujadalah ayat 11:
"wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (seba-serbinya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman diantara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan".

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Kewajipan mempelajari ilmu bukanlah terbatas hanya kepada pelajar-pelajar di sekolah ataupun siswa siswi di institusi pengajian tinggi sahaja, sebaliknya setiap umat Islam yang mukallaf sama ada yang masih bekerja mahupun yang telah bersara juga mempunyai kewajipan yang sama. Apatah lagi mempelajari ilmu merupakan suatu tuntutan daripada junjungan besar nabi kita Muhammad SAW.
Hadis daripada Anas R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
"Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim"

Golongan pelajar mempunyai tanggungjawab belajar yang amat besar kerana mereka merupakan generasi pelapis yang akan mewarisi takhta pemerintahan dan pentadbiran di negara ini. Oleh itu, nasihat dan tegurlah anak-anak kita supaya  tinggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat seperti permainan video game, berpeleseran, terlibat dengan aktiviti tidak bermoral dan lain-lain lagi. Apabila bermulanya sesi persekolahan yang baharu, kita menyeru kepada  ibubapa mahupun guru dan pensyarah, untuk menanamkan semangat dalam jiwa mereka dengan keazaman untuk bangkit menjadi insan yang dapat memberikan sumbangan kepada agama, bangsa dan juga negara.

Pada masa yang sama,kita sebagai ibubapa, penjaga, pekerja dan pesara tidak terkecuali daripada kewajipan mempelajari ilmu terutamanya yang dapat meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah  SWT. Sekalipun kita sibuk dengan tugas-tugas seharian, seharusnya kita bijak mengatur dan membahagikan masa yang ada, sebahagiannya untuk kerja-kerja menyara kehidupan dan sebahagiannya lagi untuk mempelajari ilmu-ilmu yang menjamin kebahagiaan di akhirat kelak.
Hadis daripada Abu Darda' bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:
"Sesiapa yang menempuhi jalan yang dimanfaatkan untuk menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan jalannya menuju ke syurga"

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Sejak kebelakangan ini, umat Islam di Selangor khasnya berpeluang untuk mengikuti siri-siri kuliah pengajian agama yang di adakan di masjid-masjid dan juga di surau-surau. Kuliah pengajian ini dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang bertauliah dan dipantau oleh pegawai-pegawai agama yang berkelayakan. Justeru, kita sebagai umat Muhammad SAW hendaklah sentiasa menggunakan peluang yang diberikan oleh Allah S.W.T ini untuk menimba ilmu-ilmu agama dengan sebaik-baiknya sebagai langkah memahami tarbiah Rasulullah SAW. Sesungguhnya keazaman dan kegigihan kita dalam menunaikan tanggungjawab mencari ilmu adalah menjadi lambang keagungan cinta kita kepada Rasulullah SAW.

Hadis daripada Abu Darda' R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda :
" Jadilah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama atau orang yang mencintai (tiga golongan tersebut) dan janganlah kamu menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya kami akan binasa"

Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Sebagai kesimpulan khutbah pada hari ini, marilah kita sama-sama berusaha untuk melaksanakan perkara-perkara yang berikut :
1)           Kita hendaklah mematuhi nasihat Rasulullah SAW yang menyarankan supaya kita menuntut dan cintakan ilmu.
2)           Kita hendaklah memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti hidup kita dengan berilmu.
3)           Ibu bapa hendaklah mentarbiah anak-anaknya sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW.
4)           Ibu bapa hendaklah sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di Masjid-masjid dan surau-surau sebagai bukti cintakan Rasulullah SAW.
" Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang maha pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya".
                                                                                                                   (Surah Al-Alaq:1-5)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 03 Januari 2014

Bab 11 - Sandal Rasulullah s.a.w.

Sandal Rasulullah s.a.w.

Ubaid Bin Juraih mendengar Ibnu Umar berkata:

“ Aku melihat Rasulullah s.a.w. memakai sandal tidak berbulu dan Baginda berwuduk dengan tidak membuka sandal itu daripada kakinya. Oleh sebab itu aku suka memakainya. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi,Bukhari, Muslim dan Abu Dawud)


Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata:

“ Apabila seorang antara kalian hendak memakai sandal, mulakanlah dengan sebelah kanan. Apabila hendak melepaskannya, mulakanlah dengan sebelah kiri. Sandal sebelah kanan hendaklah menjadi yang mula-mula dipakai dan yang terakhir dilepaskan. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Aisyah berkata:

“ Rasulullah s.a.w selalu cuba memastikan Baginda mendahulukan anggota kanan apabila menyisir rambut, memakai sandal dan ketika bersuci. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Nasa'i)


Bab 10 - Kasut Rasulullah s.a.w.

Kasut Rasulullah s.a.w.

Buraidah berkata:

“ Raja an-Najasyi menghadiahkan sepasang kasut berwarna hitam pekat kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. memakai kasut itu. Kemudian baginda berwuduk dan hanya menyapu air pada kasut itu. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Mughirah Bin Syu'bah berkata:

“ Dihyah menghadiahkan sepasang kasut kepada Rasulullah s.a.w., kemudian Rasulullah memakainya. “

" Daripada Amir, ... dan baju jubah, Rasulullah memakai kasut itu sampai koyak. Baginda tidak mengetahui adakah (kulit) daripada kasut itu (daripada haiwan yang) disembelih ataupun tidak. "

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi)

Bab 09 - 'Isy Rasulullah s.a.w.

'Isy Rasulullah s.a.w.

Malik Bin Dinar berkata:

“ Rasulullah s.a.w. tidak pernah sekali pun kenyang memakan roti atau daging, kecuali jika makan beramai-ramai. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi)

*** 'Isy - sejenis roti diperbuat daripada gandum dan merupakan makanan asas bangsa Arab.

Bab 08 - Pakaian Rasulullah s.a.w.

Pakaian Rasulullah s.a.w.

Ummu Salamah berkata:

“ Pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w adalah gamis. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Anas Bin Malik berkata:

Pakaian yang paling disukai oleh Rasulullah s.a.w adalah hibarah.

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim dan Nasa'i)


Mughirah Bin Syu'bah berkata:

“ Rasulullah s.a.w. pernah memakai jubah ala Romawi yang sempit di kedua-dua lengannya. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Nasa'i)


*** Gamis - Baju berlengan panjang dan berkocek, labuhnya sampai bawah betis.
*** Hibarah - Kain yang berasal dari Yaman dan diperbuat daripada kapas.
*** Jubah - Baju berlengan panjang, labuhnya sampai pergelengan kaki. 

Thursday, January 16, 2014

Bab 07 - Celak Mata Rasulullah s.a.w.

Celak Mata Rasulullah s.a.w.

Ibnu Abbas melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata:

“ Bercelaklah kalian dengan batu celak al-itsmid, kerana ia dapat mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata. Ibnu abbas yakin, Rasulullah s.a.w. mempunyai peralatan bercelak yang digunakannya setiap malam, tiga kali pada mata kanan dan tiga kali pada mata kiri. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Ibnu Majah)


Jabir Bin Abdullah melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata:

“ Hendaklah kalian bercelak dengan batu celak al-itsmid ketika hendak tidur, sebab ia akan menjernihkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata. "

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Ibnu Majah)


Ibnu Abbas melaporkan, Rasulullah s.a.w. berkata:

“ Sebaik-baik celak mata bagi kalian adalah batu celak al-itsmid, sebab ia mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata. "

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Nasa'i)



Bab 06 - Semir Rambut Rasulullah s.a.w.

Semir Rambut Rasulullah s.a.w.

Abu Rimtsah berkata:

“ Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w. bersama seorang anakku. Rasulullah s.a.w. bertanya, adakah ini anakmu? Aku menjawab, Ya dia benar-benar anakku. Rasulullah s.a.w. berkata, dia tidak akan diseksa kerana menanggung dosanya. Pada ketika itu, aku melihat uban Rasulullah s.a.w. berwarna merah. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Nasa’i)


Utsman Bin Mauhab berkata:

“Abu Hurairah pernah ditanya, adakah Rasulullah s.a.w. mewarnakan rambutnya? Abu Hurairah menjawab, Ya.  “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari dan Ibnu Majah)


Al-Jahdzamah berkata:

“ Aku melihat Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya mengeringkan rambutnya selepas mandi. Di kepalanya ada bekas daun inai. [Tirmizi berkata: Guruku ragu apakah orang yang membuat laporan sebelum ini menggunakan perkataan 'bekas celupan'] “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Abu Dawud)


Tuesday, January 14, 2014

Peperangan Rasulullah s.a.w.

Peperangan Rasulullah s.a.w. (Tahun 1 Hijrah - 11 Hijrah):

Ghazwah = 28 peperangan
Sariyyah = 54 peperangan

Jumlah peperangan = 82

* Ghazwah - Peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda sendiri bertindak sebagai Amir (Panglima)nya.
* Sariyyah - Peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah s.a.w. dan baginda melantik seorang Amir (Panglima) untuk mengetuainya.


Peperangan yang disebut di dalam Al-Quran:

1) Ghazwah Badar (Surah Al-Anfal)
2) Ghazwah Uhud (Surah Ali-Imran)
3) Ghazwah Khandak (Surah Al-Ahzab)

4) Ghazwah Bani Quraidzah (Surah Al-Ahzab)
5) Ghazwah Khaibar (Surah Al-Ahzab, Al-Fath)
6) Ghazwah Bani Nadhir (Surah Al-Haysr)

7) Ghazwah Hudaibiyyah (Surah Al-Fath)
8) Ghazwah Fathu Makkah (Surah Al-Nasr)
9) Ghazwah Tabuk (Surah Al-Taubah)

Bab 05 - Uban Rasulullah s.a.w.

Uban Rasulullah s.a.w.

Qatadah bertanya kepada Anas Bin Malik:

“ Pernahkah Rasulullah s.a.w. mewarnakan rambutnya? Anas Bin Malik menjawab, Baginda tidak pernah melakukanya. Meski sudah ada beberapa helai uban di kedua-dua pelipisnya. Namun begitu, Abu Bakar pernah mewarnakan rambutnya dengan inai dan al-katam. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim dan Nasa’i)


Anas Bin Malik berkata:

“ Aku hanya menemukan empat belas helai uban di rambut dan janggut Rasulullah s.a.w. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Ahmad)


Jabir Bin Samurah berkata:

“ Apabila Rasulullah s.a.w. memakai minyak di rambutnya, ubannya tidak kelihatan. Apabila baginda tidak memakai minyak di rambutnya, akan terlihatlah sedikit uban. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Muslim dan Nasa’i)