Thursday, August 7, 2014

Bab 14 - Pedang Rasulullah s.a.w.

Pedang Rasulullah s.a.w.

Anas Bin Malik berkata:

“ Hulu pedang Rasulullah s.a.w. diperbuat daripada perak. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Abu Dawud)


Sa'id Bin Abul Hasan Al-Bashri berkata:

“ Hulu pedang Rasulullah s.a.w. diperbuat daripada perak. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Abu Dawud)

Bab 13 - Cara Rasulullah s.a.w. memakai cincin

Cara Rasulullah s.a.w. memakai cincin

Ali Bin Abi Thalib berkata:

“ Rasulullah s.a.w. pernah memakai cincin di jari tangan kanan baginda. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Nasa'i)


Ibnu Umar berkata:

“ Rasulullah s.a.w. membuat cincin daripada perak. Apabila memakainya, Rasulullah s.a.w. menghadapkan batu cincin itu ke telapak tangan beliau. Terdapat ukiran Muhammad Rasulullah pada cincin itu. Baginda melarang sesiapapun menambah ukiran pada cincin itu. Cincin itulah yang jatuh dari tangan Mu'aiqib ke dalam perigi Aris. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Muslim, Abu Dawud dan Ibnu Majah)


Anas Bin Malik berkata:

“ Rasulullah s.a.w. memakai cincin di jari tangan kanan baginda. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Nasa'i)

Saturday, January 25, 2014

Khutbah Jumaat_Januari-04/2014

"KEJIRANAN: HIDUP BERSATU DAN BERMUAFAKAT"

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan. Iaitu dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya dan selamat di dunia serta di akhirat.
Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk:

"KEJIRANAN: HIDUP BERSATU DAN BERMUAFAKAT"
.
Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Jiran turut disebutkan sebagai tetangga iaitu mereka yang tinggal berhampiran dengan kediaman kita. Dalam Islam, kawasan kejiranan meliputi mereka yang berada dalam jarak 40 buah rumah dari semua sudut rumah kita. Realitinya di negara ini, jiran itu terdiri sama ada muslim dan bukan muslim, atau melayu, cina, india dan sebagainya.

Islam menegaskan jiran mempunyai kedudukan yang istimewa sehinggakan Rasulullah SAW sering memperingatkan terhadap hak-hak mereka. Selain itu, dalam Islam soal kejiranan turut dikaitkan dengan soal keimanan seseorang.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia berkata yang baik atau berdiam diri."
                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

Oleh kerana jiran kita di negara ini terdiri daripada pelbagai agama, fahaman dan bangsa, maka hak atau kedudukan yang pelbagai perlu diketahui, difahami seterusnya dilaksanakan.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Antara faktor yang mendatangkan kebahagian dalam hidup menurut Islam ialah memiliki jiran yang baik.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Di antara kebahagian seorang Muslim ialah tempat tinggal yang selesa, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa."
                                                                                                                        (Riwayat Muslim)

Justeru, untuk memastikan kita mendapat jiran yang baik, kita perlu terlebih dahulu menjadi jiran yang baik. Jiran yang baik ialah mereka yang mengetahui hak-hak jirannya, menjaga keharmonian bersama jirannya dan sentiasa menganggap jiran itu sebahagian daripada keluarganya.
Hadis daripada A'isyah  RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Jibril sentiasa berpesan kepadaku tentang jiran sehingga aku menyangka Jibril akan menjadikan jiran itu sebagai waris".
                                                                                                    (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sesungguhnya, mengetahui hak-hak jiran adalah antara perkara penting dalam Islam yang perlu diketahui oleh setiap individu Muslim. Antara hak-hak jiran yang perlu diketahui, difahami dan diamalkan ialah:
Pertama: memahami konsep toleransi dan tiada paksaan dalam Islam.

Islam bersifat agama yang mengiktiraf kedudukan manusia yang bersifat pelbagai agama (multi-religious) dan pelbagai budaya (multi-cultural). Kerana itu, Islam memberikan kebebasan dan menegaskan bahawa tiada paksaan dalam Islam. Justeru, memainkan isu atau sentimen perkauman sama ada berdasarkan agama atau bangsa atau keturunan atau kaum bukanlah daripada Islam. Sedarlah, tiada penyelesaian yang boleh dicapai dengan membangkitkan isu perkauman. Sesungguhnya mustahil untuk kita menyatukan rakyat Malaysia sebagai satu kaum, tetapi kita mampu untuk menjadikan mereka sebagai saudara seagama dengan menyeru kepada Islam.

Kedua: mewujudkan suasana harmoni dan kemesraan.
Sesungguhnya individu atau jiran yang baik pasti akan menjalinkan hubungan baik sesama jiran. Saling kenal mengenali, saling bertegur sapa , melemparkan senyuman, sentiasa bertanya khabar dan berusaha untuk tidak menimbulkan masalah yang boleh membawa kepada persengketaan seperti membuka keaiban jiran tetangga.

Ketiga: tolong menolong atau bantu membantu dalam pelbagai urusan.
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan jiran ialah supaya kita membantu mereka dalam segala urusan seperti menziarahi apabila sakit atau kematian, mengiringi jenazah dan mengucapkan tahniah atau takziah pada waktu-waktu yang bersesuaian. Umumnya, tolong menolong dalam perkara kebaikan. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Maidah ayat 2:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

Keempat: menjaga hak-hak mereka dan tidak menimbulkan ketidakselesaan.
Antara pesanan Nabi SAW berkaitan hal ini ialah jangan meninggikan dinding kerana ia akan menghalang laluan angin dan penglihatan kecuali dengan izin mereka. Memberikan sedikit dari masakan apabila ada bau yang menimbulkan keinginan. Selain itu, adab-adab lain dalam kehidupan berjiran ialah janganlah meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa memikirkan hak-hak orang lain, mengganggu urusan keluar-masuk jiran, mengganggu kelancaran jalan, dan hendaklah menjaga hasil buangan seperti sampah agar tidak menggangu keselesaan dan kebersihan persekitaran.

Kelima: memperlihatkan keindahan Islam dalam segala urusan kehidupan.
Satu tanggungjawab penting kepada setiap Muslim untuk menyampaikan serta memperlihatkan keindahan Islam kepada jiran yang bukan Muslim. Inilah peluang dan ruang dakwah kita kepada mereka. Apabila mereka dikenali maka lebih mudah untuk kita dekati. Perlihatkan diri kita sebagai Muslim yang ikhlas, amanah, benar, bertanggungjawab, berintegriti dan segala perilaku yang indah lagi mempesonakan. Dalam hal ini, Rasululllah SAW mengajarkan kita beberapa perkara untuk mendekati jiran yang bukan Islam iaitu dengan menghadiahkan sesuatu atau membahagiakan mereka dengan sesuatu.

Rebutlah peluang untuk sama-sama kita berdakwah kepada jiran yang bukan Islam. Mudah-mudahan mereka tidak memandang serong terhadap Islam. Bahkan mereka mengenali, memahami dan mungkin akhirnya menerima Islam.
Hadis daripada Sahl bin Saad RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Demi Allah, dengan hidayah yang kamu usahakan Islamnya seorang lelaki itu lebih baik bagi kamu daripada harta yang paling berharga."
                                                                                                                   (Riwayat Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Kesimpulan dan pengajaran yang dapat dirumuskan daripada khutbah pada hari ini ialah:
Pertama: Jiran atau tetangga iaitu mereka yang tinggal berhampiran dengan kediaman kita. Menurut Islam, jiran ialah mereka yang tinggal bersebelahan sehinggalah rumah-rumah yang berada dalam jarak 40 buah rumah dari semua sudut.

Kedua: Jiran tetangga kita terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa. Justeru, memahami kelainan agama, budaya dan adat adalah sebahagian usaha awal sebelum kita dapat melaksanakan hak-hak jiran.

Ketiga: Jiran mempunyai kedudukan yang  istimewa dalam Islam sehinggakan Rasulullah SAW sering memperingatkan kita tentang keutamaan hak-hak mereka. Selain itu, menjaga keharmonian sesama kejiranan adalah antara soal keimanan.

Keempat: Setiap Muslim perlu mengetahui hak-hak jiran seperti memahami konsep toleransi dalam beragama atau berfahaman, sering mewujudkan suasana harmoni dan kemesraan, tolong menolong dalam pelbagai urusan dan sebagainya.

Kelima: Merebut peluang untuk berdakwah dengan memperlihatkan keindahan Islam kepada jiran yang bukan Islam adalah usaha yang perlu dimanfaatkan oleh semua untuk kebaikan kepada agama dan negara.
"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua,  dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."                         
                                                                                                                            (Al-Nisa : 36)

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

Khutbah Jumaat Bacaan 24 Januari 2014

Saturday, January 18, 2014

Bab 12 - Cincin Rasulullah s.a.w.

Cincin Rasulullah s.a.w.

Anas Bin Malik berkata:

“ Cincin Rasulullah s.a.w. diperbuat daripada perak dan batunya adalah batu hitam Habsyi. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Nasa'i)


Anas Bin Malik berkata:

“ Ukiran cincin Rasulullah s.a.w. adalah tulisan Muhammad pada satu baris, Rasul pada satu baris dan Allah pada satu baris. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi dan Bukhari)

  
Anas Bin Malik berkata:

“ Apabila Rasulullah s.a.w. hendak masuk ke bilik air, Baginda menanggalkan cincinnya. “

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi, Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Friday, January 17, 2014

Sahabat Rasulullah s.a.w. Dijamin Syurga

Abdul Rahman bin ‘Auf, Sa’id bin Zaid r.a. berkata:

Sabda Rasulullah SAW: Abu Bakar di dalam syurga, ‘Umar di dalam syurga, ‘Uthman di dalam syurga, ‘Ali di dalam syurga, Tolhah di dalam syurga, al-Zubair di dalam syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di dalam syurga, Sa’ad di dalam syurga, Sa’id di dalam syurga dan Abu ‘Ubaidah al-Jarrah di dalam syurga.”  

(Hadis Riwayat: Imam Tirmizi)

01) Abu Bakar As-Siddiq r.a.
02) Umar Bin Al Khattab r.a.
03) Uthman Bin Affan r.a.
04) Ali Bin Abi Talib r.a.
05) Tolhah Bin Ubaidillah r.a.
06) Zubair Bin Awwam r.a.
07) Sa'ad Bin Abi Waqqash r.a.
08) Sa'id Bin Zaid r.a.
09) Abdul Rahman Bin Auf r.a.
10) Abu Ubaidah Bin Jarrah r.a.

*** Selain itu masih ada beberapa orang lagi sahabat yang dijamin syurga.