Friday, January 17, 2014

Khutbah Jumaat_Januari-02/2014

 "MENGHAYATI KEPERIBADIAN RASULULLAH S.A.W DALAM KEHIDUPAN" 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan penuh ketaatan, keyakinan dan keikhlasan iaitu dengan melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa seterusnya berjaya dan selamat di dunia serta di akhirat.

Pada hari yang mulia ini marilah sama-sama kita menghayati khutbah yang bertajuk: "MENGHAYATI KEPERIBADIAN RASULULLAH SAW DALAM KEHIDUPAN".

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Sesungguhnya keagungan Rasulullah SAW diperakui ramai. Muslim atau bukan Muslim. Dahulu sehingga kini. Hampir semua menyatakan bahawa Baginda SAW adalah insan paling agung. Sekiranya diletakkan insan lain di sisi Rasulullah SAW untuk dibandingkan, maka Rasulullah SAW adalah yang terbaik dalam segala hal kehidupan. Ketakwaan, keberaniaan, kelembutan, sifat pemurah, sifat penyayang, sifat toleransi dan sebagainya. Kerana itu, orang yang pernah bersua, melihat dan bersama Baginda SAW pasti akan berkata Baginda adalah yang terbaik dalam segala-galanya.

Saidina Ali bin Abi Talib RA menyifatkan Rasulullah SAW sebagaimana bermaksud: "Baginda adalah penutup kepada para nabi (Nabi terakhir). Baginda adalah insan yang amat pemurah dan paling lapang dadanya. Ungkapan atau ucapan Baginda adalah yang paling benar (tepat). Perilaku Baginda amat lembut dan Baginda amat peramah dalam pergaulan. Barangsiapa yang melihat pasti menaruh hormat terhadap Baginda. Sesesiapa yang bergaul atau berinteraksi, kemudian mengenali, pasti akan mencintai Baginda. Orang yang menceritakan sifat Baginda pasti akan berkata: "Belum pernah aku melihat sebelum dan sesudahnya orang yang seumpama Baginda."                                                         (Riwayat At-Tarmidzi)

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Mempelajari, memahami, menghayati seterusnya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan adalah tuntutan agama.
Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21:
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)."
Ringkasnya, sesiapa yang ingin cemerlang dan berjaya di dunia dan di akhirat mestilah mencontohi keperibadian Rasulullah SAW. Persoalannya, bagaimanakah kaedah atau cara untuk kita menghayati dan mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam kehidupan?

Antara kaedah atau tatacara pemahaman dan perlaksanaan dalam kita menghayati seterusnya mencontohi keperibadian Rasulullah SAW adalah seperti berikut:
Pertama: Meyakini bahawa Rasulullah SAW itu adalah penutup dan Rasul terakhir yang menjelaskan bahawa kehadiran Baginda SAW telah menyempurnakan Islam dan telah mewujudkan panduan-panduan dalam segala aspek kehidupan manusia. Sesungguhnya Rasulullah SAW telah hidup selama 23 tahun selepas penurunan wahyu dalam menyempurnakan panduan dan petunjuk terhadap segala urusan kehidupan manusia selama 13 tahun di kota Makkah dan 10 tahun di Madinah akhirnya menyaksikan pembinaan sebuah model negara dan kerajaan contoh dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kedua: menjadikan keperibadian Baginda SAW sebagai rujukan dengan mengambil sumber-sumber yang tidak diragui kebenarannya iaitu Al-Quran, Al-Sunnah dan tafsiran para ulama muktabar yang menjadi rujukan ramai. Segala peristiwa penting yang berlaku terhadap Baginda dan para sahabat tercatat di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Justeru, marilah sama-sama kita mempelajari, mengkaji dan menghayati keperibadian Baginda SAW melalui majlis-majlis pengajian, pembacaan kitab-kitab sirah, penghayatan terhadap maksud pembacaan qasidah atau pujian-pujian terhadap Baginda dan sebagainya. Jadikan bacaan kitab-kitab seumpama kitab A-Syama'il Al-Muhammadiyyah" sebagai bacaan rutin untuk diri dan keluarga. Mudah-mudahan seluruh ahli keluarga kita hidup dengan menjunjung perintah Allah yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Ketiga: Mencontohi Rasulullah SAW sebagai contoh insan yang cemerlang dalam hubungan manusia dengan pencipta dan hubungan manusia sesama manusia. Rasulullah SAW adalah insan yang paling bertakwa dan paling taatkan perintah dan larangan Tuhan. Amal ibadat Baginda adalah yang terbaik dikalangan semua dan seluruh insan. Dalam contoh hubungan manusia sesama manusia, Baginda adalah anak, suami, ayah, saudara, sahabat, rakan, jiran dan kenalan yang amanah dan bertanggungjawab. Baginda bersifat dengan segala sifat terpuji dan jauh sama sekali dari sifat terkeji. Baginda diutuskan Tuhan untuk menyempurnakan akhlak dan kelakuan.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan (manusia dengan) akhlak yang baik."                                    (Riwayat  Al-Bukhari)

Keempat: Menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik dalam setiap aspek, bidang dan porfolio kehidupan atau pekerjaan manusia. Baginda adalah imam, guru, pendidik, ketua negara dan ketua tentera. Syariat dan kehidupan yang dibawanya menjadi rujukan pakar ekonomi, kedoktoran dan sebagainya. Sebagai contoh, Baginda bukan sahaja ahli ibadah yang paling taat kepada Allah, bahkan baginda adalah pemimpin yang berjaya menyusun pemerintahan terunggul meliputi segala bidang. Justeru, apa sahaja portfolio kita, Rasulullah SAW adalah contoh ikutan. Lihat dan contohi bagaimana Baginda SAW memimpin negara, bagaimana Baginda membentuk akhlak bangsa, bagaimana Baginda menyelesaikan segala permasalahan dan sengketa.

Kelima: Memiliki azam yang tinggi untuk mencontohi keperibadian Baginda SAW dalam kehidupan. Ketahuilah bahawasanya mencontohi Baginda adalah satu-satunya jalan untuk mencapai kebahagian dan kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Justeru, marilah kita menjalankan peranan masing-masing. Sebagai seorang ketua keluarga maka contohilah baginda dalam diri, isteri dan anak-anak. Sekiranya kita ingin melihat keindahan sesebuah negara Islam yang menjamin kebahagiaan, keamanan dan kemakmuran hidup, maka mulakan penerapan nilai-nilai Islam dalam pengurusan dan pentadbiran negara,  insyaAllah kita akan mendapatkannya. Al-Syahid Hasan Al-Banna menyebutkan: "Tegakkan negara Islam bermula dari dalam dirimu, nescaya akan tertegaklah Islam di bumimu."

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah,
Kesimpulan yang dapat dirumuskan daripada khutbah hari ini bagi setiap muslim adalah :
Pertama:   Hendaklah mentaati perintah Rasulullah SAW dalam segala aspek kehidupan.
Kedua : Hendaklah mencontohi dan menghayati keperibadian Rasulullah SAW.
Ketiga   :   Hendaklah menerapkan nilai-nilai murni yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.
"Katakanlah (wahai Muhammad) " sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadahnya kepada Tuhannya. "

KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang  telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,  sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. Demikian jua Ya Allah, tambah dan luaskanlah rezeki orang yang mewakafkan hartanya di negeri ini, limpahkanlah nikmat iman dan kesihatan yang berpanjangan kepada mereka, terimalah wakaf mereka dengan ganjaran pahala yang berkekalan hingga ke hari akhirat.

Khutbah Jumaat Bacaan 10 Januari 2014

No comments:

Post a Comment